Mengapa Saya Tidak Akan Menyertai Bersih 4.0

Ini tidak akan diterima dengan baik oleh ramai pihak. Tetapi benarkan saya terangkan tajuk tulisan saya di atas. Kenapa saya (maksudnya saya dan hanya saya) tidak akan menyertai perhimpunan Bersih 4.0. Saya tidak menyeru sesiapa supaya tidak menyertai Bersih. Saya bercakap mengenai mengapa saya tidak akan menyertainya.

Sebelum anda memaki hamun saya, biar saya ingatkan anda yang saya pernah menyertai Bersih 2.0 dan Bersih 3.0. Saya pernah ditahan sebentar ketika Bersih 2.0. Anda boleh mencari tulisan saya mengenai kedua-dua perhimpunan ini di internet. Jika anda masih belum mengetahuinya, saya tinggal di Seberang Tambak dan telah datang ke perhimpunan ini 2 kali.

Dan sekarang saya telah bermastautin di KL, biar saya beritahu mengapa saya tidak akan menghadiri Bersih 4.0.

Saya kecewa dengan Bersih 2.0 Jika Bersih 2.0 memperjuangkan pilihanraya yang bersih dan adil, ia sepatutnya membelasah habis-habisan PKR dan Pakatan Rakyat kerana pertunjukkan sarkas Langkah Kajang. Jadi, apa penduduk Kajang khususnya dan rakyat Selangor amnya, peroleh dari perkara ini? Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 menentang habis-habisan manipulasi, rasuah dan ketidakadilan di dalam pilihanraya umum kita. Jika Bersih sanggup mempertaruhkan segala-galanya ke jalan raya untuk pilihanraya yang bersih, mengapa mereka menutup sebelah mata terhadap perbuatan PKR dan Pakatan Rakyat ketika Langkah Kajang?

Dalam kedua-dua perhimpunan sebelum ini – walaupun dianjurkan oleh BERSIH – pada hari kejadian, ianya telah diambil alih oleh parti politik. Ketika Bersih 3.0, suasana huru hara tercetus apabila badut-badut dari PKR telah merampas mikrofon dan memulakan ucapan berapi yang penuh dengan provokasi. Polis juga bukan malaikat. Ketika Bersih 3.0, sebaik sahaja seorang figura politik memulakan ucapan provokasinya, saya dan rakan saya bangun dan meninggalkan tempat untuk mendapatkan minuman. Ketika saya menghabiskan minuman, keseluruhan tempat berhimpun telah menjadi seperti zon perang. Kita tidak perlu diingatkan dengan kekejaman polis semasa Bersih 3.0. Saya pastinya tidak mahu melihat anak muda yang tidak bersalah dipukul kerana mengambil bahagian di dalam proses demokrasi ini. Saya tak fikir situasi kali ini akan berubah. Menteri KDN kini adalah Timbalan Perdana Menteri dan IGP masih lagi marah-marah atas sebab yang tidak sepatutnya.

Dengan segala keadaan huru hara di dalam PAS dan GHB, bolehkan perhimpunan ini bergantung harap sepenuhnya dengan Pasukan Amal PAS sekali lagi kerana hasil kerja yang membanggakan pada perhimpunan yang lepas? Tiada siapa yang boleh mempertikaikan jasa Pasukan Amal PAS ini dalam perhimpunan-perhimpunan sebelum ini.

Memandangkan Bersih 4.0 akan mengambil masa 2 hari 1 malam, saya sangat bimbangkan hal keselamatan. Mengetahui yang rakyat Malaysia suka membawa anak kecil mereka ke acara sebegini, saya secara peribadi merasakan idea 2 hari 1 malam Bersih 4.0 ini tidak munasabah. Masih ada yang ingat huru hara Occupy Dataran? Saya rasa tidak mustahil akan ada individu yang akan cuba mencetuskan kekacauan di awal pagi, membahayakan keselamatan peserta perhimpunan.

Pada pendapat saya, tidak berbaloi rasanya untuk menyertai Bersih 4.0. Lagi sekali, ini adalah pendapat peribadi saya dan saya tidak meminta orang menerimanya. Tetapi hak anda untuk berhimpun secara aman tetap saya sokong. Malah, saya galakkan mereka yang ketinggalan Bersih 2.0 dan 3.0 untuk menyertai Bersih kali ini. Jaga diri. Berkawanlah dan fahami betapa mesranya rakyat Malaysia terhadap satu sama lain dalam acara sebegini.

Oleh Abdul Haleem,
http://www.loyarburok.com/2015/07/29/will-not-attend-bersih4/