Muhyiddin Perlu Adu Pada Lembaga Disiplin Umno, Bukan Perwakilan. Apakah Muhyiddin Cuba Mencetus Persepsi Butuk Ahli Umno Terhadap Najib?

Mengambil kesempatan menimbulkan kesangsian terhadap Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan tergamak menggunakan platform pentas UMNO untuk menyerang Dato’ Seri Najib Tun Razak mengenai RM2.6 bilion.

Masih tidak habis dan selesai lagi pertikaian RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun peribadi Najib? Kenapa bersungguh-sungguh benar Muhyiddin mahu tahu tentang RM2.6 bilion itu? Bertanyakan di mana baki wang tersebut di depan para perwakilan UMNO?

Sudah berbuih-buih mulut dijelaskan tentang RM2.6 bilion itu. Terbaru, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau dan bendahari parti tahu tentang duit RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib. Maka Muhyiddin akan pertikai mengapa Timbalan Presiden tidak tahu?

Persoalannya, apakah di dalam Perlembagaan UMNO itu memberikan arahan kepada Presiden UMNO untuk memberitahu berapa ringgit wang keluar masuk UMNO kepada Timbalan Presiden? Jika ada, mohon Timbalan Presiden tunjukkan.

Sekiranya ada permasalahan mengenai dana RM2.6 bilion itu, penulis yakin bahawa ia adalah masalah dalaman parti. Wang itu adalah wang untuk kegunaan parti. Jadi secara jelas, ia hanyalah melibatkan kes internal sahaja, bukan?

Dalam kata mudah, ia tidak melibatkan wang rakyat atau wang kerajaan.

Jadi, sekiranya Muhyiddin berpandangan mempertikai mengapa wang tersebut disalurkan kepada akaun Najib, maka selaku Timbalan Presiden UMNO, penulis yakin beliau tahu tentang undang-undang di dalam parti, bukan?

Mengapa tidak laporkan pada Jawatankuasa Disiplin UMNO? Mengapa perlu perkara tersebut diadu domba pada para perwakilan di majlis perasmian UMNO Bahagian? Mengapa pula sengaja dijaja cerita itu kepada mereka?

Apakah Muhyiddin cuba mencetus persepsi buruk ahli UMNO terhadap Najib? Apakah Muhyiddin fikir dengan berbuat demikian maka beliau akan dilihat sebagai ‘hero’ yang akan diangkat sebagai Presiden selepas menjatuhkan Najib?

Apakah Muhyiddin fikir ahli-ahli UMNO di depannya itu merupakan anggota Lembaga Disiplin UMNO? Tidak, bukan? Jadi untuk apa diceritakan pada mereka? Untuk menarik simpati dan memburuk-burukkan Najib? Cakaplah terus-terang apa tujuannya.

Mungkin terlalu seronok disambut dengan sorakan yang kononnya beliau ‘teraniaya’, maka sewenang-wenangnya seorang Timbalan Presiden UMNO itu boleh bermain politik dengan para perwakilan? Kononnya atas kebenaran? Kebenaran untuk menjadi Presiden UMNO, kah?

Sehingga kini, penulis belum dengar lagi satu patah pun perkataan yang menjelaskan Muhyiddin akan membawa kes dana politik UMNO berjumlah RM2.6 bilion itu kepada Lembaga Disiplin parti. Mengapa? Kerana Muhyiddin sedar ia bukan satu kesalahan, bukan?

Jika ia bukan menjadi satu kesalahan, mengapa pula dimomokkan dan mengadu kepada perwakilan UMNO kononnya menyalur dana politik ke akaun Presiden seolah satu kesalahan untuk tidak diberitahu pada Timbalan Presiden? Sengaja mahu mencemar imej Presiden?

Pada pandangan penulis, Muhyiddin perlu mencontohi sikap dan perjuangan Tun Ghafar Baba. Walau beliau disingkir secara ‘kotor’ oleh ‘anak emas Tun M’, arwah sedikit pun tidak memburuk-burukkan Presiden mahupun Timbalan Presiden.

Seharusnya, selaku seorang yang sebelum ini dilihat sebagai ‘orang agama’, Muhyiddin perlu redha dan berlaku adil setelah Allah menarik balik kuasa yang ada padanya. Belajar untuk mencari hikmah di sebaliknya, bukan dengan mencetus kebencian terhadap Presiden UMNO.

Justeru itu pada pandangan penulis, Muhyiddin perlu bermuhasabah diri dan merenung kembali tentang tindakannya baru-baru ini yang menghuru-harakan parti. Sebagai di antara ‘orang lama’ UMNO, janganlah buat perangai sangat. Takut juga kalau habis aib dilondehkan Allah nanti?

Sumber: http://www.mykmu.net/2015/08/muhyiddin-perlu-adu-pada-lembaga-disiplin-umno-bukan-perwakilan/