PAS Bukan Macam DAP. Mereka Sering Menghentam Tun Mahathir Tetapi Sekarang Mereka Menyokong Beliau

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak sama seperti DAP yang berpolitik secara tidak konsisten.

Menurutnya, DAP sering mengubah pendirian politik mengikut suasana semasa untuk meraih sokongan undi semata-mata, sedangkan PAS konsisten dengan prinsipnya.

“Kami tidak seperti DAP. Mereka sering menghentam Tun Mahathir tetapi sekarang mereka menyokong beliau,” katanya kepada pemberita.

Hadi berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang terus menyerangnya dengan alasan beliau cenderung serta menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung rombakan Kabinet tempoh hari apabila tidak memberi reaksi negatif.

Beliau juga menafikan dakwaan bahawa cenderung menyokong Najib dalam melakukan rombakan Kabinet pada Selasa lalu.

“Saya tak cenderung pada sesiapa, saya cenderung supaya membaiki keputusan rakyat dan inilah kecenderungan saya. Siapa yang boleh selesaikan hak rakyat, itu kecenderungan saya, tidak kira siapa mereka.

“Maksud saya, tung­gulah dulu dan saya tak boleh hukum lebih awal terhadap Kabinet baharu,” katanya.

Ditanya mengenai pengguguran Muhyiddin agak drastik daripada Kabinet, beliau menjawab: “Saya tak boleh hukum wajar atau tidak, itu terpulang pada ahli UMNO sendiri.”

Menjawab satu soalan kemungkinan Pas bersedia memberi ruang kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk menyer­tai parti berkenaan, Abdul Hadi berkata, ia terserah kepada Muh­yiddin sendiri.

“Terpulanglah pada Muhyiddin sendiri, sama ada nak bertindak macam Tengku Razaleigh atau Anwar Ibrahim. Sama ada dia nak terus bersama UMNO atau sebaliknya, terpulanglah,” katanya.

Mengenai gesaan bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu ke atas ahli Parlimen BN agar me­lakukan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dalam sidang Parlimen nanti, beliau dengan sinis berkata, terserah kepada ahli BN untuk percayakan Mat Sabu atau tidak.