Pas Tidak Terlibat Dengan BERSIH 4.0 Kerana Tiada Undangan – Nasruddin Hassan, Ketua Penerangan PAS

Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan berkata parti itu tidak akan terlibat secara langsung dalam himpunan Bersih 4.0 yang akan diadakan pada 29 hingga 30 Ogos depan.

Ia berikutan tiada undangan daripada Pengerusi Bersih 4.0 Maria Chin Abdullah kepada PAS untuk bersama menganjurkan himpunan berkenaan seperti yang pernah berlaku sebelum ini, katanya.

“Kami tidak dilibatkan, semasa Bersih 1 hingga Bersih 3 kami dilantik sebagai penganjur, tapi kali ini kali tidak terlibat jadi tiada penglibatan dan kami fokus kepada beberapa agenda-agenda lain” ujar Nasruddin lagi.

Nasrudin menjelaskan bahawa ahli PAS kini menunggu arahan Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang sama ada akan turun menyertai himpunan berkenaan atau tidak.

Bagaimanapun PAS tetap menyokong tuntutan himpunan berkenaan.

“Dari sudut tuntutan Bersih 4.0 itu memang kita sokong. Itu dasar umum mahu PRU bersih dan telus tapi bagaimana hendak memperjuangkannya, parti masing-masing ada pendekatan sendiri. PAS tunggu Presiden isytihar nanti,” katanya.

Hadi Ahad lalu memaklumkan bahawa PAS tidak membenarkan ahlinya menyertai himpunan Bersih 4.0 sebaliknya menghantar 3 wakil parti berkenaan dengan alasan himpunan berkenaan bukan dianjurkan PAS.