Pemimpin Kerajaan Sudah Lama Amalkan Isytihar Harta Kepada SPRM

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan sudah lama pemimpin negara mengekalkan amalan mengisytihar harta kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, namun begitu ia tidak boleh didedahkan kepada pengetahuan awam bagi memastikan keselamatan pemimpin dan anggota keluarga terjamin.

“Kita sentiasa isytiharkan harta kepada SPRM,apa yang kita ada, banyak mana tanah kita ada, aset dan termasuklah banyak mana duit kita ada. Tapi itu hanya untuk pengetahuan SPRM sahaja.

“Ia tidak boleh didedahkan bagi memastikan keselamatan pemimpin mahupun keluarga mereka terjamin daripada perkara yang tidak sepatutnya,”katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama JKKKP Kelantan semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai wujudnya cadangan supaya pemimpin negara mengisytiharkan harta mereka.

Ismail yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, pihak pembangkang juga tidak melakukan perkara tersebut kerana bimbang keselamatan terancam.

“Biar dia isytihar dulu. Dia (pembangkang) pun tidak buat juga. Kita kena adil lah. Kalau dia isytihar, kita isytiharlah. Pengisytiharan tersebut juga bukanlah kosong.

“Yang pentingnya kita beritahu SPRM, kita juga sebenarnya membuat akaun sumpah bahawasanya apa yang kita isytiharkan itu adalah benar. Kalau ada sebarang kesulitan, maka SPRM boleh guna maklumat tersebut samada kita menipu atau tidak,” katanya.