Pengalaman Saya Bekerja Dengan Tan Sri Zeti Aziz

Saya mula bekerja di bawah Tan Seri Zeti semasa saya menjadi Pengarah Bahagian Pembangunan Strategik, Kewangan Islam dan Komunikasi Korporat, LOFSA dan seterusnya sebagai CEO, LIBFC.

TS Zeti adalah Pengerusi LOFSA (sekarang di kenali sebagai Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan).

Sesungguhnya, TS Zeti adalah seorang yang berpandangan jauh. Mindanya sungguh strategik di dalam pemikirannya. Kalau sesiapa membentangkan kertas mereka atau memberi presentation, saya nasihatkan pembentang itu meneliti dan memikirkan setiap sudut hujah-hujah mereka. TS Zeti boleh menilai hujah anda dengan sekejap dan memberi komen yang anda mungkin tidak dapat fikirkan, dan ini termasuklan bidang bukan kewangan seperti komunikasi dan sumber manusia. Bak kata orang, “Dont play-play.”

Beliau juga seseorang yang amat menitikberatkan integriti dan kewibawaan Bank Negara Malaysia, sistem perbankan, dan sistem kewangan negara. Di dalam hal ini, pendirian beliau adalah keras dan tidak berkompromi.

Dari setiap ayat yang di tulis, dari setiap perkataan yang di sebut, TS Zeti timbang dan timbang dengan sepenuhnya. Beliau tahu akan impak segala pertuturan dan tulisannya. Sesiapa (termasuklah saya) yang pernah mendrafkan ucapan untuk TS Zeti tahulah bagaiman telitinya TS Zeti di dalam perkara ini. Malah setiap gambarnya yang di keluarkan oleh BNM dan agensi-agensi di dalam Kumpulan Bank Negara mesti mendapat persetujuannya.

Begitulah rapinya TS Zeti di dalam menjaga imej beliau, dan seterusnya, imej Bank Negara.

Beliau telah di anugerahi Gabenor Bank Pusat Terbaik untuk beberapa kali. Ini bukannya satu pencapaian yang mudah dan ringan. Usahanya untuk membangunkan industri kewangan Islam, hanya sekerat satu-dua tokoh lain di dalam dunia yang boleh tandingi. Pencapaian beliau di dalam bidang ini di iktirafi oleh Bank Pembangunan Islam (Islamic Development Bank) di mana beliau di anugerahkan sebagai tokoh pada tahun 2012. Tidak dapat di nafikan tanpa usaha TS Zeti di dalam kewangan Islam, kedudukan tersohor Malaysia di dalam bidang kewangan Islam tidak tercapai ke peringkat ini.

Saya banyak terhutang budi kepada TS Zeti kerana beliau telah mengajar saya pelbagai perkara, termasuk cara berfikir. Dengan sepotong ayatnya, kita boleh huraikan untuk menjadi pedoman kerjaya kita.

Saya percaya dengan sepenuh hati saya bahawa TS Zeti tidak berganjak walaupun seinci di dalam tanggungjawab beliau melindungi kewibawaan dan integriti sistem perbankan negara.

Oleh Saiful Bahari Baharom,
https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=815396488576460&id=811383698977739