Penyokong GHB Turut Bersekongkol Menjaja Fitnah Membawa Kejatuhan Bekas Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim – Ahmad Amzad Hashim, Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat

Pendokong Gerakan Harapan Baru (GHB) terpalit dengan perbuatan fitnah kerana mereka turut bersekongkol menjaja fitnah yang membawa kepada kejatuhan bekas Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Ahmad Amzad berkata, penyelesaian secara baik saman fitnah Khalid terhadap PKR dan bekas setiausaha agungnya Saifuddin Nasution mendedahkan laporan 91 muka surat memburukkan prestasi Khalid sebagai MB adalah fitnah semata-mata.

Ahmad Amzad berkata, dalam hal ini pendokong GHB juga terbabit secara langsung menjadi agen penyebar fitnah berkenaan yang membawa kepada kejatuhan Khalid sebagai MB.

“GHB ini sedikit pun tidak merasa bersalahkah dengan perbuatan mereka bersekongkol menjaja fitnah kepada Tan Sri Khalid Ibrahim yang melibatkan sampai berjela-jela fitnah yang disenaraikan sehingga 90 muka surat?

“Sekarang PKR dan Saifuddin Nasution sudah mengaku memfitnah dengan mengaku kesemua 90 muka surat berkenaan, tidak ada satu pun yang betul.

“Sudah membuat ikrar bersumpah di depan Pesuruhjaya Kehakiman di dalam mahkamah bahawa beliau (Saifuddin) tidak akan lagi mengulangi dan menyebut fitnah itu lagi,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Malah menurut beliau, fitnah yang dibuat GHB ini menjadi punca kepada kemarahan umum terhadap PAS terutamanya kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kerana fitnah ini orang marah pada Presiden PAS, DS TGHH, para ulama dan PAS yang tidak menyokong perbuatan ini dengan membabi buta.

“Kerana fitnah bukan sahaja rakyat Selangor, malah rakyat seluruh negara terpalit najis dosa mengumpat keji (Tan Sri) Khalid Ibrahim, kerana percaya kepada mereka yang bersungguh menjaja cerita. Ke sana ke mari dengan roadshownya.

“Demi fitnah ini, ada ADUN PAS yang mengkhianati ketetapan parti sendiri. Sekarang sudah nyata sifat mereka dengan mengisytihar keluar PAS,” katanya kecewa.

Di sebalik cerita itu, Ahmad Amzad turut mendedahkan GHB kini giat menjaja fitnah bahawa PAS bersengkongkol dengan Umno demi kelangsungan parti.

“Mereka menyerang PAS yang sekarang teguh bersatu dengan lebih 80 peratus ahli yang memilih kepimpinan sekarang dengan proses demokratik yang tidak mampu dipertikaikan.

“Mereka memfitnah PAS konon akan masuk Umno,” katanya lagi.

Malah beliau juga yakin GHB disokong oleh DAP bagi mencapai cita-cita menyingkirkan PAS dalam Pakatan Rakyat 2.0 yang akan dibentuk kelak.

“Mereka ini disokong kuat oleh DAP dan mustahil mereka sanggup mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan DAP,” ujar Ahmad Amzad lagi.

http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/jangan-halalkan-fitnah-mereka-rosakkan-islam-1.421008