PKR Selangor Sokong Gerakan Harapan Baru – Azmin Ali

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menegaskan parti tersebut menyokong sepenuhnya penubuhan Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru).

Tegas beliau, sudah menjadi dasar parti PKR untuk menyokong mana-mana parti politik, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) jika ia mampu membawa perubahan ke arah kebaikan untuk negara.

Sehubungan dengan itu, Azmin yang juga Menteri Besar Negeri Selangor meminta pihak wartawan bertanyakan sendiri pendirian Pas mengenai pendirian mereka terhadap penubuhan Harapan Baru, termasuk kenyataan Mursyidul Am parti tersebut, Datuk Dr. Haron Din bahawa Pas bersedia keluar daripada pakatan pembangkang.

“Saya tidak tahu (kenyataan Haron Din). Kamu boleh bertanya beliau sendiri. PKR sokong Pas, DAP, GHB, semua PKR sokong, begitu juga dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) atau Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih),” ujarnya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.

Mohamed Azmin diminta mengulas berhubung pendirian PKR yang masih belum membuat keputusan sama ada mahu menyokong kepemimpinan Datuk Seri Hadi Awang atau kumpulan progresif Harapan Baru.

Khamis lalu Haron Din, berkata Pas bersedia meninggalkan PKR sekiranya sekutunya itu menyertai pakatan pembangkang baharu bersama DAP dan Harapan Baru.

Haron Din berkata, pendirian PKR tentang penubuhan pakatan pembangkang baharu seperti yang diumumkan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggambarkan seolah-olah parti itu ingin memutuskan hubungan dengan Pas.

Anwar dalam perutusan yang disampaikan menerusi peguamnya, mengumumkan usaha ke arah pembentukan pakatan pembangkang baharu menerusi kerjasama dengan semua gerakan progresif, termasuk Bersih, Abim, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Harapan Baru.

Kenyataan beliau bahawa pembangkang berusaha mewujudkan muafakat politik lebih utuh,sekali gus menyaksikan PAS terus dipinggirkan dalam pembentukan Pakatan 2.0.