Rakyat Mungkin Tanggung Kenaikan Taraf Air Selepas Penstrukturan Semua – MB Selangor

Rakyat Selangor berkemungkinan akan menanggung kenaikan tarif air pada masa akan datang setelah perjanjian utama penstrukturan industri air negeri itu dimuktamadkan termasuk pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi.

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata kenaikan tarif itu mungkin difikirkan untuk jangka masa panjang mengikut jangkaan kos pengambilalihan yang ditanggung oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Perjanjian yang akan dimuktamadkan pasti mempunyai kos proses penstrukturan dalam memastikan perkhidmatan air yang berkualiti, namun kerajaan negeri tidak akan bebankan rakyat.

“Dalam usaha mengurangkan 35 peratus kadar air tidak terhasil (NRW) ketika ini, pastinya ia memerlukan kos yang besar bagi menangani perkara tersebut,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Kajang) berkaitan industri air di Selangor.

Terdahulu, Mohamed Azmin menyatakan perjanjian utama penstrukturan semula industri air Selangor telah dimuktamadkan dengan kerajaan pusat pada 10 Julai lepas dan mempunyai tempoh 60 hari bagi pelaksanaan syarat-syarat utama di dalam perjanjian itu termasuk penyelesaian proses pengambilalihan syarikat konsesi.

Katanya, sehingga kini hanya Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) masih dalam proses rundingan pengambilalihan manakala proses bagi tiga lagi konsesi iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Konsortioum ABBAS Sdn Berhad (ABBAS) dan Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB) berjaya diselesaikan.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut mengakui bahawa Selangor sedang berdepan dengan masalah bekalan air terawat berikutan kekurangan loji rawatan air untuk menampung keperluan rakyat dan industri di negeri itu.

“Masalah kita di Selangor bukan disebabkan oleh bekalan air mentah tetapi berpunca akibat kekurangan loji rawatan air dan keadaan itu menyebabkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 perlu disegerakan,” katanya.

Kepada soalan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) berhubung program pemberian air percuma, Mohamed Azmin berkata kerajaan negeri akan meneliti perkara itu berikutan terdapat segelintir pihak dilihat menyalahgunakan kemudahan tersebut.

“Kita kena teliti perkara itu kerana didakwa ada pihak yang menerima kemudahan itu menggunakannya untuk mencuci kereta, menyiram kebun bunga dan sebagainya namun kerajaan negeri tidak berhasrat untuk batalkan program itu setakat ini,” katanya.

Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1162380