Saifuddin Nasution Mohon Maaf Kepada Khalid Ibrahim

Kes saman fitnah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkaitan laporan mengenai isu Menteri Besar Selangor diselesaikan dengan baik selepas bekas Setiausaha Agung PKR itu memohon maaf kepada Abdul Khalid di Mahkamah Tinggi di sini.

Kenyataan permohonan maaf secara terbuka itu dibacakan oleh Saifuddin yang kini Pengarah Pilihan Raya PKR dan direkodkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman M.Gunalan.

Terdahulu, Saifuddin berkata kandungan dokumen laporan ‘Keputusan Menggantikan Menteri Besar Selangor’ mengandungi beberapa kenyataan yang dikatakan bersifat fitnah, antaranya berhubung penyelesaian hutang di luar mahkamah antara Abdul Khalid dan Bank Islam, urus niaga melibatkan kerajaan Selangor dan Ecoworld Berhad, urus niaga penstrukturan air, sokongan Abdul Khalid untuk melaksanakan lebuh raya Kidex dan prestasi pentadbiran kerajaan Selangor di bawah kepimpinan beliau (Abdul Khalid).

Saifuddin berkata kandungan dan tuduhan dalam dokumen itu telah menjejaskan nama baik dan reputasi Abdul Khalid sebagai antara lainnya, Menteri Besar Selangor (pada masa material), Anggota Parlimen Bandar Tun Razak, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, seorang bekas tokoh korporat dan seorang ahli perniagaan serta keluarga beliau.

“Saya menjelaskan bahawa dokumen tersebut ditulis dan diedarkan dengan tujuan memberi penjelasan politik mengenai keputusan parti (PKR) menggunakan kuasanya untuk mencalonkan seorang yang lain sebagai Menteri Besar Selangor. Dokumen itu tidak bertujuan untuk digunakan sebagai bukti muktamad bahawa telah berlaku sebarang atau apa-apa perlakuan rasuah atau salah laku.

“Dokumen tersebut telah menyatakan dan memberi gambaran bahawa Abdul Khalid adalah seorang yang korup, zalim, tidak boleh dipercayai, tidak bersikap telus, tidak jujur, tidak beretika, tidak amanah, tidak berintegriti, telah terlibat dengan perlakuan rasuah dan salah laku serta tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor,” katanya.

Saifuddin berkata bagi pihak PKR dan dirinya secara peribadi, mereka melahirkan rasa amat kesal dan dengan ikhlas serta suci hati tanpa syarat memohon maaf kepada Abdul Khalid.

“Bagi pihak PKR dan secara peribadi, kami juga memberi akujanji kepada Abdul Khalid dan mahkamah ini bahawa kenyataan-kenyataan tersebut tidak seharusnya dikatakan dan kami akan memberhentikan daripada menyatakan serta tidak akan mengulangi kandungan dan tuduhan-tuduhan dalam dokumen tersebut serta apa-apa kenyataan yang berkaitan dengan dokumen tersebut,” katanya.

Abdul Khalid ketika membacakan Kenyataan Penerimaan berkata beliau menerima permohonan maaf daripada pihak defendan dan bekas menteri besar itu turut memohon maaf sekiranya beliau ada menyinggung perasaan mana-mana pihak termasuk Saifuddin.

Pada awal prosiding, peguam Edmund Bon yang mewakili Abdul Khalid memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua pihak telah mencapai penyelesaian penuh menerusi Penghakiman Persetujuan dan mereka akan membacakan kenyataan masing-masing secara terbuka di mahkamah.

Selain Bon, Abdul Khalid turut diwakili peguam Joshua Tay manakala Saifuddin diwakili peguam William Leong dan Puspawati Rosman.

Kes itu sebelum ini ditetapkan untuk perbicaraan bermula Selasa lepas.

Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berada dalam senarai saksi pihak defendan turut hadir di mahkamah hari ini menyebabkan galeri awam dipenuhi pihak media, anggota keluarga beliau, pimpinan Pakatan Rakyat dan orang awam.

Pada 18 Ogos tahun lepas, Abdul Khalid memfailkan saman terhadap Saifuddin secara peribadi dan atas kapasiti beliau sebagai Setiausaha Agung PKR serta pemegang jawatan PKR (ketika saman difailkan) berhubung pengedaran dokumen laporan ‘Keputusan Menggantikan Menteri Besar Selangor’, bertarikh 4 Ogos 2014 yang didakwa memfitnah bekas menteri besar itu.

Selain menuntut ganti rugi, Abdul Khalid memohon perintah menghalang Saifuddin atau wakilnya, pekerjanya dan kakitangannya daripada menerbit, mengeluar, mengedar, mencetak atau menyebabkan perkataan yang memfitnah beliau (Abdul Khalid)