Sarawak Report Disiasat Mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan Kerana Cuba Menimbulkan, Mengganggu & Gugat Demokrasi Berparlimen Di Negara Ini

Pihak polis akan menyiasat Clare Rewcastle-Brown, pengasas portal dalam talian Sarawak Report, berikutan penerbitan artikel terbarunya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, portal berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana cuba menimbulkan dan mengganggu gugat demokrasi berparlimen di negara ini.

Menurutnya, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga sudah menafikan dakwaan kewujudan draf pertuduhan tersebut, justeru tiada keperluan sekiranya perkara ini dirujuk semula kepada bekas peguam negara.

Khalid memberitahu, tindakan pengarang Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown yang menyebarkan laporan palsu dengan menggunakan sumber dan dokumen yang tidak sahih telah melanggar beberapa undang-undang negara.

Sehubungan itu, katanya, siasatan akan dijalankan terhadap tuduhan tidak berasas yang dilakukan Claire berikutan beberapa laporan polis telah diterima sejak semalam berhubung draf pertuduhan itu.

“Kami telah menerima banyak laporan mengenai artikel ini dan akan melakukan siasatan,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Khalid memberitahu, tuduhan bahawa bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dipecat berikutan isu tersebut adalah tidak benar.

Khalid bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai bagaimana sebarang tindakan akan diambil terhadap Clare Rewcastle-Brown, memandangkan dia seorang rakyat British yang berpangkalan di United Kingdom.

“Kita ada cara kita,” katanya lagi.

http://www.nst.com.my/node/94094