Serpihan Pesawat Yang Ditemui Di Pulau Reunion Di Timur Lautan Hindi Sah Milik Pesawat MH370

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion di timur Lautan Hindi minggu lalu milik pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.

Mengumumkan perkara itu kira-kira jam 2 pagi ini, Najib menyatakan siasatan pakar antarabangsa mengesahkan serpihan terbabit adalah sebahagian pesawat milik MH370 selepas 515 hari kehilangannya.

“Penemuan ini menunjukkan terdapatnya bukti fizikal pesawat MH370 terhempas di kawasan terbabit.

“Saya turut menyampaikan dukacita kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 walaupun maklumat ini agak menyedihkan. Kehilangan mereka akan terus diingati,” katanya dalam sidang media khas MH370, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Najib turut mengucapkan ucapan terima kasih kepada negara, organisasi dan orang perseorangan yang banyak membantu sepanjang usaha operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370. Pengesahan itu hasil analisis sekumpulan pakar dari Malaysia, Perancis dan Australia, termasuk wakil dari Boeing dan China.

Kumpulan pakar itu melakukan pemeriksaan terhadap serpihan sayap pesawat di makmal DGA Technique Aeronautique di Balma, dekat Toulouse, Perancis.

Pulau Reunion menjadi tumpuan dunia apabila komponen sayap pesawat, flaperon, ditemui di pesisir pantai pulau itu pada 29 Julai lalu. Pulau milik Perancis itu terletak di luar pantai Madagascar, kira-kira 4,000 kilometer (km) dari tempat usaha mencari pesawat MH370 dijalankan.

Pada 31 Julai lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, mengesahkan flaperon yang ditemui antara komponen pesawat Boeing 777.