Sisi Keji PKR Terdedah Dalam Kes Saman Khalid Ibrahim!

Alhamdulillah kes saman mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memecat keahliannya tahun kerana dituduh tidak amanah dapat diselesaikan dengan rukun.

Khalid bersetuju menerima permohonan maaf bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan juga PKR dan membatalkan saman yang dikemukakannya terhadap parti itu.

Yang menang ialah Khalid. Beliau boleh sahaja memilih meneruskan saman itu. Namun bagi beliau bukan menang perbicaraan dan memungut pampasan daripada PKR yang dihajatinya. Lebih penting baginya ialah membersihkan diri daripada fitnah PKR itu.

Kini PKR sudah mengaku bahawa apa yang dipertuduhkan terhadap Khalid adalah tidak benar dan akur dalam mahkamah tidak akan mengulangi cercaan terhadap Khalid.

Tindakan itu PKR ambil hanya kerana mahu menurunkan Khalid dari kerusi Menteri Besar dan menggantikannya dengan presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebaliknya, Khalid pula mengheret PKR ke mahkamah bukan kerana mahu berpaut pada tampuk kuasa kerajaan Selangor tetapi mahu melangsaikan komitmen yang dibuatnya untuk terus membangunkan Selangor.

Namun belum terlambat untuk beliau meneruskan azamnya itu kerana sikap berlapang dadanya menerima permohonan maaf PKR itu kini membuka peluang untuk beliau meneruskan perjuangan untuk rakyat.

“Mereka mengakui bahawa laporan tersebut telah dikeluarkan dan diedarkan bagi menjelaskan mengapa saya perlu dilucutkan dari jawatan Menteri Besar Selangor dan bukanlah satu bukti muktamad bahawa saya telah melakukan kesalahan seperti fitnah yang disebut.

“Mereka turut menyatakan rasa kesal dan mengakui bahawa penyataan di dalam laporan tersebut tidak sepatutnya diperkatakan serta memberi akujanji tidak akan mengulangi tuduhan serta fitnah tersebut.

“Justeru setelah maruah saya ditebus dengan kenyataan maaf oleh PKR lantas terbukti bahawa segala tohmahan yang dilemparkan ke atas saya ternyata fitnah semata-mata maka saya kini boleh memberi tumpuan penuh untuk melakukan usaha ini,” ujarnya di laman Facebook nya.

Bertajuk ‘Langkah Kajang, Langkah Kecundang’, Khalid dalam kenyataan itu menyifatkan strategi politik yang disusun PKR semata-mata mahu menyingkirkan beliau akhirnya menyebabkan kepincangan hubungan di dalam Pakatan Rakyat (PR).

Lantas sikap tidak adil dan tidak jujur parti KEADILAN yang menggunakan fitnah sebagai pencapai maksud politiknya kini semakin jelas diteropong rakyat.

PKR sanggup bersikap curang dengan membuat tuduhan dalam 91 mukasurat untuk menjatuhkan menteri besar yang sebelum itu ditimang-timang sebagai pemimpin contoh terbaik bagi parti itu sendiri.

Kecurangan itu dilakukan selaras cita-cita Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengukuhkan empayar politiknya dengan bertegas mahu meletakkan isterinya, Wan Azizah sebagai menteri besar.

Pada mulanya apabila rencana politik Langkah Kajang ini dimaklumkan padanya bahawa ADUN ketika itu, Lee Chin Cheh akan meletakkan jawatan dan diganti oleh Anwar, Khalid bersetuju melaksanakannya.

Malah beliau sendiri turut hadir dalam sidang media mengumumkan Anwar sebagai ganti Lee dan beliau juga tiada halangan melepaskan jawatan Menteri Besarnya untuk diisi oleh Anwar.

Khalid ketika itu insaf akan tujuan Langkah Kajang itu demi kebaikan PKR dan Pakatan Rakyat. Beliau juga percaya sebagai Menteri Besar Anwar mampu memimpin pakatan pembangkang menawan Putrajaya.

Bagaimanapun apabila Anwar hilang kelayakan bertanding dalam pilihanraya kecil Kajang, Khalid keberatan mengosongkan jawatannya. Ini kerana beliau yakin Azizah tidak mempunyai keupayaan dan kaliber seperti Anwar.

Keengganan beliau memenuhi hasrat Anwar itu dibalas dengan penghebahan PKR akan beberapa tuduhan yang cuba membuktikan sikap tidak amanahnya. Lantas Khalid dipecat dari PKR.

Anwar dan PKR kemudian berkeras mahu Azizah mengisi kerusi Khalid. Di peringkat itu, isu menteri besar bukan lagi menjadi masalah PKR tetapi melingkar menjadi kekusutan politik membabitkan rakan kongsinya, termasuk PAS.

PAS dengan tegas mengatakan tidak bersetuju dengan kemahuan PKR. Ia bingkas mengisytiharkan keluhuran peribadi Khalid dan keberkesannya sebagai menteri besar Selangor.

Ketegaran PKR itu turut menjejaskan kepentingan politik PAS pula. Dua ADUNnya – Saari Sungib dan Hasnol Baharuddin — bertindak melompat memberi sokongan pada PKR.

Rentetan itu semakin lebarlah ‘retak yang menanti belah’ dalam Pakatan Rakyat. DAP yang memang tidak selesa dengan PAS menyambar kesempatan menyokong PKR dan mencatur gerakan mengenyahkan PAS dari Pakatan Rakyat.

“Langkah Kajang telah berjaya mengaibkan saya yang akhirnya menyebabkan saya kehilangan jawatan. Namun, lebih malang lagi, strategi politik yang tidak bermoral ini telah turut menyebabkan keretakan dalam pemuafakatan antara parti komponen Pakatan Rakyat akibat sikap politik retorik dan hipokrit.

“Akibatnya PAS – sebuah parti politik yang mempunyai kekuatan ‘grassroots’ dan tenaga mereka kongsi sepenuhnya pada setiap pilihanraya – telah diketepikan dan dipecah-belahkan; bahkan pemimpin mereka turut terpalit dan diaibkan,” terangnya lagi.

Bukan itu sahaja, strategi politik ini juga akhirnya memberi kesan kepada kepentingan rakyat, khasnya dalam isu penstrukturan semula air di Selangor.

“Tanah Selangor diserahkan kembali kepada golongan ‘rentier’ yang hanya mengaut laba atas angin, masalah sampah masih berleluasa serta halatuju pentadbiran negeri yang masih kabur,” kata Khalid menghuraikan kepedihan politik yang dialaminya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam Jumaat lalu merekodkan Penghakiman Persetujuan melalui kes Saman Fitnah yang difailkan Khalid terhadap Saifuddin dan PKR.

Saman itu berhubung edaran fitnah yang mengaitkan mengapa Khalid perlu digugurkan sebagai Menteri Besar Selangor.

Sayugia diingat bahawa ini bukanlah pertama kali PKR mengamalkan politik fahaman Machiavelli – matlamat menghalalkan cara.

Sebelum ini Naib Presiden PKR, Tian Chua juga pernah memohon maaf kerana membuat tuduhan bahawa serangan bersenjata kaum Sulu ke atas Sabah adalah sandiwara permainan Umno.

Demi menang politik, PKR ‘berhati kering’ dan sanggup mengorbankan serta memfitnah sesiapa sahaja termasuk tokoh-tokohnya sendiri seperti tindakannya terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Oleh Abdul Rahman Malik,
http://antarapos.com/bm/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WmbpNgZw=%3D