Tan Sri Zeti Akhtar Aziz Menafikan Spekulasi Bahawa Beliau Akan Meletak Jawatan

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz hari ini menafikan spekulasi bahawa beliau akan meletak jawatan.

Beliau berkata perkhidmatannya adalah bagi tempoh lima tahun dan akan hanya berkahir hujung tahun depan.

“Tentu sekali saya akan meneruskan khidmat saya hingga tamat. Ia adalah perkhidmatan lima tahun dan tamat hujung tahun depan,” katanya pada taklimat media Bank Negara Malaysia (BNM) pagi tadi.

Ditanya adakah beliau berhasrat meneruskan perkhidmatannya selepas tempoh berakhir, beliau berkata, buat masa ini, beliau lebih memilih untuk menulis buku apabila bersara.

“Saya sudah menjadi Gabenor selama 16 tahun dan melengkapkan perkhidmatan selama 35 tahun untuk Bank Negara dan negara. Saya yakin Bank Negara adalah satu institusi yang kukuh dan mampu menganjak ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

BNM pada 30 Julai lalu menafikan khabar angin Zeti Akhtar meletakkan jawatan sebagai gabenor bank pusat sebagai mana yang tersebar dalam media tempatan dan akhbar kewangan.

“Ia tidak benar,” katanya memetik laporan Reuters.

BNM juga menafikan Zeti, 67, menderita sakit jantung.

“Beliau sihat dan kembali bertugas seperti biasa,” kata jurucakap BNM kepada The Star.

Portal Malaysia Gazette melaporkan Zeti dikatakan tidak hadir di pejabatnya pada pagi Isnin, namun memulakan tugas di pejabat pada sebelah petang.

Zeti sehari dua ini juga menghadiri pelbagai mesyuarat dalaman BNM, sekali gus menafikan khabar angin bahawa beliau dalam keadaan tidak sihat, lapor Astro Awani.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menafikan dakwaan menyiasat Zeti berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, pihak polis tidak mengetahui bagaimana dakwaan berkenaan dapat diketahui umum.

Khalid berkata polis tidak menjalankan apa-apa siasatan terhadap Zeti seperti yang disebarkan di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

“Siapa cakap polis siasat? Kerana setahu saya tiada sebarang siasatan dijalankan.

“Apa saja isu berkaitan 1MDB saya enggan ulas lanjut, biar pasukan khas yang siasat,” katanya.

Sumber: http://mynation.my/gabenor-negara-nafi-akan-letak-jawatan/