Tidak Guna Akaun Peribadi Untuk Dana Politik Itu Licik, Bukan Bersih Namanya – Nik Mohamad Abduh

“Itu licik, bukan bersih namanya,” kata Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul.

Kata beliau, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh mendakwa dirinya bersih hanya kerana kerana tidak menggunakan akaun peribadi untuk wang pembiayaan politik.

Menurut Nik Mohamad Abduh, zaman politik wang di Malaysia sebenarnya bermula dan begitu berleluasa pada era Mahathir yang kini diwarisi parti-parti politik.

“Tun Mahathir tak boleh bersihkan dirinya bahawa beliau tidak pernah guna akaun peribadi untuk wang biaya politik. Itu licik, bukan bersih namanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahathir semalam menafikan beliau pernah memasukkan wang ke dalam akaun peribadinya untuk kegunaan pada Pilihan Raya Umum (PRU).

Mahathir juga menyatakan beliau hanya pernah memasukkan wang tunai berjumlah RM20,000 dari Ibu Pejabat UMNO ke dalam akaunnya hanya pada PRU 1964 dan 1969.

Isu mengenai pembiayaan politik itu timbul berikutan dakwaan akaun bank Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai dana kira-kira RM2 bilion.