Wujudkan Semula Peraturan Sumber Dana Politik Yang Sebelum Ini Ditolak DAP – Najib Razak, Perdana Menteri

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mencadangkan semula untuk mewujudkan peraturan yang mengkehendaki parti politik mendedahkan senarai sumber dana politik (political funding) yang diterima mereka.

Katanya, cadangan itu bagi membolehkan parti politik bersikap lebih telus dan jujur dalam pengurusan dana dan sumber yang diperoleh, walaupun sebelum ini ditolak oleh pembangkang, khususnya DAP.

“Memang Presiden parti boleh cari wang (dana) untuk parti. Saya boleh terangkan (punca dana UMNO) dengan syarat pembangkang pun terangkan punca kewangan mereka. Jangan hendak menyerang saya sahaja.

“DAP perlu terangkan, PKR perlu terangkan daripada mana mereka dapat (dana). Saya boleh terangkan kalau mereka terangkan. Sama-sama kita terangkan barulah adil,” katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Seremban di Pusat Dakwah Islamiah Paroi dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Abu Ubaidah Redza serta Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Hasan Malek.

Tambah Perdana Menteri, beliau telah mengemukakan cadangan itu sebelum ini supaya soal dana politik dibuat lebih telus dan terbuka, tetapi tidak dipersetujui oleh DAP.

“Kenapa tidak setuju? Ada muslihat ke? Bila tidak setuju, apa sebenarnya dan puncanya. Cubalah senaraikan. Saya boleh senaraikan siapa yang derma pada UMNO,” jelasnya lagi.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, beliau sering ‘diserang’ pembangkang berhubung punca dana UMNO, namun pihak tersebut sendiri enggan mendedahkan punca dana mereka.

Cadangan mewujudkan peraturan itu sebelum ini dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertujuan mewajibkan parti-parti politik mengisytiharkan sumber dana politik masing-masing agar ketelusan dapat diwujudkan.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam kenyataan berkata, DAP antara parti paling awal membantah cadangan itu kerana bimbang akan merugikan parti itu.

Abdul Rahman berkata, semasa SPRM mula-mula mencadangkan perubahan dari segi pembiayaan politik, Najib merupakan pemimpin politik pertama yang menyokong idea itu dan mahukan dilaksanakan serta dimasukkan ke dalam inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Dalam perkembangan lain, mengenai 1Malaysia Developments Berhad (1MDB), Najib berkata, aliran tunai yang tidak sepadan dengan operasi perniagaan adalah punca masalah yang melanda syarikat pelaburan strategik kerajaan itu.

Katanya, masalah itu berlaku apabila syarikat itu terus diserang bertalu-talu hingga menjejaskan perancangan yang dibuat untuk membangunkannya.

Berdasarkan perancangan sebelum ini, kata Najib, untuk mendapatkan nilai sebenar 1MDB, ia perlu menyenaraikan aset-aset seperti anak syarikatnya, Edra Global Energy Berhad (Edra).

“Kita sepatutnya menyenaraikan aset tenaga tahun lalu tetapi tidak jadi kerana kalau kita nak senaraikan sentimennya mesti positif, kalau tidak positif, ia tidak boleh disenaraikan. Jadi itu punca masalah 1MDB hari ini iaitu perniagaan yang tidak sepadan dari segi aliran tunai”,katanya.