Ahli Parlimen Lembah Pantai Jadikan Putrajaya Sebagai Alasan Bapanya Lambat Dirawat

Pelik, sebelum ke penjara, menari, berjoget, berdiri berceramah berjam-jam, berarak di perhimpunan semua boleh.
——
Nurul Izzah mendakwa kerajaan sengaja melengah-lengahkan rawatan yang berterusan dan keluarganya tidak lagi mahu berurusan dengan Dr Jeyaindran.

“Kami mahu berhubung terus dengan pakar dan tidak mahu berurusan dengan Dr Jeyaindran,” kata naib presiden PKR itu.

Bagaimanapun, dalam respons terhadap tuntutan itu, Dr Jeyaindran menegaskan peranannya sebagai saksi pendakwaan tidak ada sebarang kesan kepada tugasnya memberi khidmat penjagaan perubatan kepada Anwar sebagai pesakit. “Tiada kaitan dengan apa yang berlaku sebelum ini. Saya hanya sebagai koordinator,” katanya.

“Itu pendapat Nurul Izzah. Saya rawat Anwar sebagai seorang yang profesional dan layanan saya terhadap Anwar semasa dalam penjara adalah secara profesional. “Kita ada panel di mana 13 doktor yang jaga dia (Anwar), kesemua bertugas menjaganya dan tertakluk dengan keadaannya, dan saya adalah ketua panelnya,” katanya sambil menambah terdapat pakar ortopedik ditugaskan merawat Anwar.

“Dalam dua tiga minggu ada doktor ortopedik akan merawatnya, bukan saya. Ada juga doktor daripada luar (yang terlibat), pakar doktor daripada universiti untuk pandangan kedua,” kata Dr Jeyaindran.

Malah, Dr Jeyaindran memberitahu beliau sebelum ini pernah merawat seorang pesakit namun enggan mendedahkan identiti mereka. “Saya pernah rawat ahli politik yang lain, jadi tiada masalah pesakit itu daripada pembangkang atau pun tidak,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dalam pada itu, Dr Jeyaindran menegaskan penyakit yang dialami Anwar boleh dirawat di Malaysia.

Katanya, ini kerana rawatan pakar perubatan dan doktor dalam negara sudah mencukupi serta tiada keperluan untuk Anwar dirawat di luar negara.

“(Penyakit Anwar) ia bukan sesuatu yang besar. Ramai pesakit di dalam Malaysia mengalami masalah yang sama dan boleh merawatnya di sini,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu secara terperinci penyakit dan jenis rawatan yang diperlukan Anwar.

“Maklumat perubatan Anwar adalah sulit. Saya tidak boleh dedahkan tetapi terpulang kepada keluarga Anwar untuk beritahu,” katanya.

Katanya, keputusan laporan daripada panel terlibat mengenai perubatan Anwar akan diserahkan kepada keluarganya dalam masa terdekat.

Pada masa sama, beliau turut menafikan dakwaan keluarga Anwar yang hanya beliau seorang merawat ketua umum PKR itu.

Sebelum ini, The Malaysian Insider melaporkan Nurul Izzah ke Amerika Syarikat dalam usaha memberi tekanan kepada Putrajaya agar membenarkan bapanya menjalankan pembedahan kerana kecederaan pada bahunya.

Kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, beliau terpaksa memilih jalan tersebut kerana panel doktor merawat bapanya menyarankan pembedahan segera dilakukan tetapi dakwanya, Putrajaya seperti melengahkan rawatan.