Apa Jadi Jika Benar Tuduhan Tun Mahathir Bahawa Wang RM 2.6 Bilion Dicuri Daripada 1MDB?

Apakah mungkin benar tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad yang Datuk Seri Najib Razak mencuri RM2.6 bilion daripada 1MDB dan memasukkannya ke dalam akaun peribadinya?

Beberapa hari lalu, Dr Mahathir menulis:
“Najib berkata wang (RM2.6 bilion) itu adalah derma. Adakah kita bodoh (untuk menelan pembohongan ini). Saya yakin wang yang diterimanya dan dimasukkan ke dalam akaun persendiriannya adalah daripada 1MDB. Saya yakin ia bukan daripada negara Timur Tengah.”

Maka, jika Tun Mahathir betul, apakah implikasinya? Apakah yang bakal kita depani?



1) Najib Razak akan berhenti sebagai Perdana Menteri dan mungkin akan ke penjara.

Ini bagaimanapun jika beliau kalah dalam perbicaraan jenayah rasuah terhadapnya yang dibawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Dan tentu sekali, beliau akan melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno.

Jika anda teruskan membaca, jika benar apa didakwa Tun M, Najib bukanlah masalah anda.



2) Orang yang bertanggungjawab terhadap pasukan polis, Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri adalah ‘penipu dan tidak cekap.’

Ya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, akan dianggap ‘penipu atau tidak cekap’ kerana terlalu naif untuk mempercayai penderma dari negara Arab itu.

Ini kerana Ahmad Zahid telah menyatakan beliau telah menemui wakil kepada keluarga Timur Tengah itu yang menderma US$700 juta (RM2.6 bilion) kepada Najib. Beliau berkata mereka menyatakan derma itu adalah bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional dan Umno pada Pilihanraya Umum ke-13 lalu.

“Saya sudah berjumpa dengan ketua pegawai pelaburan penderma dan pemegang amanah tabung amanah itu.
“Mereka memberitahu, negara kita bukanlah satu-satunya negara yang menerima derma daripada kami. Terdapat banyak negara Muslim yang turut menerima derma yang sama,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, mereka membantu BN kerana komitmen kerajaan menentang keganasan dan mengekalkan status Malaysia sebagai negara mengamalkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Maka, jika apa didakwa Tun M adalah benar, Naib Presiden Umno ini tentunya ‘berbohong.’



3) Menteri Wilayah dan Menteri Kewangan Kedua turut menghadapi dakwaan yang sama, jika ‘benar’ apa didakwa Mahathir.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau dan Bendahari Umno yang juga Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengetahui akan wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Tengku Adnan berkata perkata itu sudah diperjelaskan berulang kali. “Kami sudah memberi penjelasan berulang kali mengenai isu ini. Sebagai Setiausaha Agung, saya menyedari wang itu, begitu juga dengan Bendahari parti,” katanya.

Maka, jika benar dakwaan Mahathir, Setiausaha Agung dan Bendahari Umno adalah ‘pembohong’, tidak cekap dan bersuhabat dengan Najib dengan ‘mencuri wang daripada 1MDB.’



4) Adakah SPRM adalah ‘pembohong’, ‘tidak cekap’ dan ‘tidak boleh dipercayai.’

SPRM mengesahkan, penderma wang sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib adalah dari Timur Tengah namun identiti mereka tidak boleh didedahkan.

Melalui satu kenyataan, SPRM mengesahkan mengetahui maklumat mengenai penderma itu daripada dokumen bank.

“SPRM sudah menerima penjelasan daripada penderma terbabit daripada Timur Tengah dan mereka turut mengesahkan mengenai derma itu,” kata SPRM.

“Wang RM2.6 bilion itu tiada kaitan langsung dengan 1MDB,” jelas SPRM melalui kenyataan itu.

Menurut SPRM, mereka memperolehi empat surat yang diberikan kepada bank di mana wang RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib, dengan dokumen terbabit menyatakan ia adalah satu derma.

Maka, jika benar tuduhan Mahathir, SPRM adalah ‘pembohong, tidak cekap dan tidak boleh dipercayai’ dan kesemua siasatan selepas ini perlu ‘dipersoalkan.’



5) Adakah Ketua Audit Negara adalah ‘pembohong, tidak cekap dan tidak boleh dipercayai’, sekurang-kurangnya pada peringkat interim?

Ketua Audit Negara melalui laporan audit 1MDB menjelaskan tidak menemui sebarang aktiviti yang mencurigakan terhadap syarikat itu, sekaligus menafikan dakwaan kononnya wang syarikat itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Maka, jika benar tuduhan Mahathir, Ketua Audit Negara adalah ‘pembohong, tidak cekap dan tidak boleh dipercayai’ kerana gagal menemui wang berbilion yang hilang daripada akaun 1MDB.



6) Keseluruhan sistem kewangan Malaysia dan dunia akan runtuh.

Saya tidak melawak.

Ia kerana keseluruhan sistem kewangan bergantung kepada akaun diaudit untuk berfungsi. Bank memberi pinjaman bersandarkan akaun diaudit, pasaran saham kita dan pelabur juga bergantung kepada akaun diaudit bagi menilai saham dan menentukan sama ada mereka mahu mengeluarkan wang mereka atau sebaliknya.

Malah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga berlandaskan kepada akaun diaudit untuk menentukan sama ada kita membayar jumlah cukai yang sepatutnya atau tidak.

Juruaudit 1MDB adalah nama besar dalam dunia dan sangat dipercayai. Tiga daripadanya tersenarai dalam Kumpulan 4 Terbesar Juruaudit dunia, iaitu Ernst and Young, KPMG dan Deloitte.

Ernst and Young melakukan audit bagi 1MDB pada 2009 dan meluluskan akaun mereka. Bagaimanapun, pada waktu itu, 1MDB masih lagi tidak memiliki banyak wang dan transaksi.

Manakala KPMG membuat audit 1MDB bagi tahun 2010, 2011 dan 2012 dan turut mengeluarkan keputusan yang sama. Tempoh ini adalah yang paling kontroversi kerana ia turut melibatkan kerjasama dengan syarikat PetroSaudi.

Deloitte pula membuat audit pada 2013 dan 2014, dan turut mengeluarkan keputusan audit sebagai tidak bermasalah. Tempoh ini juga signifikan kerana ketika ini, 1MDB membeli Penjana Tenaga Persendirian (IPP) dan membuat perolehan secara kerjasama dengan syarikat milik kerajaan Abu Dhabi, IPIC dan Aabar.

Malah, apabila dipanggil memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) ketika melakukan siasatan terhadap 1MDB, kedua-dua firma audit, KPMG dan Deloitte mengesahkan ketepatan audit mereka.

Baca: FIRMA AUDIT, KPMG BERDIRI TEGUH TERHADAP LAPORAN AUDIT SYARIKAT 1MDB YANG DILAKUKAN BAGI TEMPOH 2010 HINGGA 2012 KETIKA MEMBERI KETERANGAN DI HADAPAN JAWATANKUASA PAChttp://www.thesundaily.my/news/1463078

Baca: FIRMA AUDIT, DELOITTE & CO, MENYATAKAN LAPORAN AUDIT MEREKA UNTUK 1MDB PADA MAC 2014 ADALAH SAH. “Deloitte menyatakan mereka telah melihat penyata bank berkaitan aset bernilai RM13.4 bilion di BSI Bank. Mereka turut mengesahkan nilai aset yang dipersoalkan, di mana mereka turut membuat kajian sama ada ia sama nilai bagi tahun kewangan 2014,” kata Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamad. http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/deloitte-audit-on-1mdb-legit-for-now-pac-says

Baca: “Sehingga 31 Mac 2014, Deloitte menyatakan telah mendapatkan penaksiran nilai berkecuali mengenai aset RM13.4 bilion itu dan hasilnya, nilai itu sama dengan penyata bank. Deloitte tidak melakukan audit bagi tahun 2015, dan hanya membuat audit bagi 1MDB sehingga 31 Mac 2014,” kata ahli jawatankuasa PAC, Tony Pua.http://www.thestar.com.my/Business/Business-News/2015/06/10/Deloitte-stands-by-No-going-concern-on-1MDB-for-financial-year-2014/?style=biz

Maka, jika kedua-dua firma audit yang merupakan antara terbesar di dunia dan dikenali dengan kredibiliti mereka tidak boleh mengesan ‘kehilangan’ berbilion wang 1MDB dan meluluskan laporan audit daripada 2010 hingga 2014, maka tiada lagi harapan untuk sistem kewangan Malaysia selepas ini. Bank perlu berhenti beroperasi dan pasaran saham akan runtuh.

Dan memandangkan KPMG dan Deloitte adalah dua daripada Kumpulan 4 Terbesar di dunia dan menjalankan audit di seluruh dunia serta dikenali dengan integriti mereka, sistem kewangan global juga bakal berdepan krisis!

Ia akan menjadi lebih buruk daripada krisis Enron di mana salah satu firma audit dalam senarai Kumpulan 5 Terbesar dunia, Arthur Andersen akan terpaksa berhentikan operasi! Pada kes Enron, ia adalah mengenai perolehan melambung dan perincian tidak seimbang dan bukannya mengenai kegagalan menemui kehilangan berbilion dolar.

Maka, jika benar tuduhan Mahathir, ia pasti akan mengakibatkan bencana kewangan dan ekonomi di negara ini dan pada peringkat dunia.



KESIMPULAN

Saya tidak tahu anda, tetapi saya harap Mahathir salah mengenai tuduhannya terhadap Najib kononnya Perdana Menteri mencuri wang sebanyak RM2.6 bilion daripada 1MDB dan memasukkannya ke dalam akaun peribadinya.

Saya harap Mahathir salah, sama seperti bagaimana beliau salah mengenai Pak Lah dan menantunya, Khairy Jamaluddin apabila menuduh Pak Lah dan Khairy sebagai sangat rasuah.

Peliknya, Pak Lah letak jawatan dan disahkan tiada salahlaku malah segala tuduhan lenyap begitu sahaja. Pelik. Dan Pak Lah, kali terakhir dilihat bukan di penjara tetapi turut meraikan Hari Kebangsaan bersama Najib di Dataran Merdeka, 31 Ogos lalu.

Dan, Khairy pula, turut bertanding sebanyak dua kali di Parlimen Rembau dan kini menjawat jawatan Menteri Kabinet!

Tetapi jika benar tuduhan Mahathir, maka Perdana Menteri akan datang, menteri bertanggungjawab terhadap polis, SPRM, Ketua Audit Negara dan Menteri Kewangan Kedua, kesemuanya adalah ‘pembohong dan tidak cekap.’

Dan tentu sekali sistem kewangan dan ekonomi kita malah kewangan dunia akan berdepan krisis memandangkan dua daripada Kumpulan 4 Audit Terbesar Dunia ‘tidak boleh dipercayai dan tidak cekap’ untuk mengesan kehilangan wang berbilion daripada akaun 1MDB.

Maka, seluruh kerajaan Malaysia tidak boleh dipercayai dan kita akan berada dalam bencana ekonomi jika benar tuduhan Mahathir.

Kita harap tidak. Tentu tidak. Jika tidak, seluruh dunia dalam krisis.

Dan bagi wang RM2.6 bilion, adakah benar ia datang daripada penderma Arab dan mengapa?

Saya telah menyatakan, mengapa Pak Arab menyalurkan dana itu kerana mereka sendiri mahu menyelamatkan diri mereka. Mengapa?

Oleh Lim Sian See,
http://limsiansee.blogspot.my/2015/08/what-if-tun-m-is-correct-that-rm26b-is.html?m=1