Apa Yang Berlaku Di Negara-Negara Asal Pemimpin Transparency International & Amnesty International Lebih Patut Dibangkitkan

Tanpa maklumat jelas berkenaan hal ehwal dalaman Malaysia, beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing mengambil peluang berucap di sebuah persidangan antarabangsa di Putrajaya berakhir Jumaat lalu untuk memperkecil-kecilkan negara kita.

Walaupun terdiri daripada bijak pandai, tindakan mereka adalah sebaliknya apabila membuta tuli mengkritik negara dalam mengendalikan soal rasuah dan menguruskan kebebasan hak asasi.

Keberkesanan peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang antaranya menyaksikan peningkatan ketara dalam kadar sabitan daripada hanya 54 peratus pada 2009 kepada 78 peratus pada tahun lalu, diketepikan.

Lagak mereka bagaikan mahu jalan cerita filem box office Tamil, Sivaji The Boss berlaku di negara ini tetapi alam realiti bukan semudah itu. Tindakan undang-undang bukan boleh hanya melalui persepsi kerana yang menyiasat dan disiasat juga ada hak masing-masing. Ini prinsip universal.

Kecualilah dalam kes Amerika Syarikat (AS) yang sesuka hati menakluk Iraq dan Afghanistan hanya berdasarkan apa yang mereka percaya.

Malangnya pemimpin-pemimpin NGO tersebut yang disokong golongan seangkatan mereka di sini bercakap dengan tidak berlandaskan fakta sekali gus menampakkan kecetekan pengetahuan mereka terhadap apa yang berlaku di Malaysia.

Satu contoh bagaimana Setiausaha Agung Amnesty International, Sahil Shetty dengan semberono bercakap terdapat akhbar dan portal ditutup berikutan perhimpunan haram Bersih 4.

Walaupun terlibat dalam pelbagai organisasi antarabangsa, namun beliau juga tidak terlepas daripada membuat dakwaan tidak berasas setaraf pelayar Facebook yang sekadar mencari tumpuan.

Apatah lagi beliau mengaitkan ketakutan kerajaan kerana bimbang berlaku Arab Spring di Malaysia. Hakikatnya apakah Bersih 4 mendapat sokongan semua lapisan rakyat seperti mana yang berlaku di Mesir dan Tunisia.

Penyokong Bersih 1, 2 dan 3 sebelum ini pun menjauhkan diri dengan siri perhimpunan terbaharu ini, maka terjadilah acara yang menyaksikan dominasi satu kaum dan satu parti. Sedangkan negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dengan majoritinya adalah orang Melayu dan Islam yang menjadi teras politik.

Lagi pula soal kebebasan bersuara dan berhimpun terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan cuma ia harus dilakukan mengikut peraturan. Dalam hal Bersih 4, pihak berkuasa memberi jaminan kelulusan akan diberikan jika dilakukan di stadium waima stadium terbesar di negara ini iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Begitu juga dengan pemimpin Transparency International (TI). Berca­kap macam pihak ber­kuasa khususnya SPRM berpeluk tubuh dalam isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tindakan pemimpin TI termasuk Pengerusinya, Jose Ugaz memberi tekanan kepada negara tuan rumah ketika majlis perasmian sememangnya nampak canggung kerana dari satu sisi, seolah-olah mahu mengajar sedangkan siasatan dan tindakan dalam isu 1MDB belum berakhir.

Malah membangkitkan nama beberapa negara yang dibayangi pelbagai masalah agak menjengkelkan sedangkan Malaysia berada pada landasan tepat menuju negara maju yang mana pencapaian itu tidak akan mampu diraih jika negara dilingkari rasuah dan penyelewengan.

Salah satu contoh skandal yang dibangkitkan adalah berhubung Petrobras. Namun jika dilihat kepada Petronas, konglomerat itu diakui sebagai syarikat petroleum bertaraf dunia dan menjadi contoh kepada pelbagai negara kerana diurus dengan penuh integriti.

Begitu juga transformasi kepada SPRM yang menjadi model kepada banyak negara membangun lain dan ramai pegawai mereka dihantar menjalani latihan di negara ini.

Peliknya, apa yang berlaku di negara-negara penceramah dalam Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Ke-16 itu terutama TI dan Amnesty International sebenarnya yang patut dibangkitkan dengan lebih lantang seperti negara asal pemimpin TI dan Amnesty International. Lagipun IACC adalah persidangan antarabangsa, bukan persidangan membincangkan isu di negara ini semata-mata.

Maka, tak perlulah hendak tunjuk hidung tinggi, malah Malaysia jauh lebih ikhlas membantu Dunia Ketiga mengukuhkan integriti urus tadbir termasuk dalam hal berkaitan pengubahan wang haram. Sedangkan sesetengah negara maju sendiri seperti tidak mahu terlibat kerana melindungi kepentingan mereka. Namun hal-hal seperti ini jarang dibangkitkan TI. Yang mereka lebih bersorak adalah bila melihat pemimpin negara sasaran itu tumbang.

Justeru, timbul tanda tanya bahawa perjuangan mereka menentang rasuah sebenarnya tidak ikhlas tetapi didorong motif untuk mencaturkan politik. Kalau di negara ini memang berlaku kerana sesetengah pihak hanya lantang apabila melibatkan parti pemerintah tetapi senyap membisu jika penyelewengan melibatkan sebelah satu pihak lagi.

Pemilihan PKR, Pas dan DAP dibayangi pelbagai dakwaan, pemerintahan mereka juga tidak terkecuali terpalit dengan skandal. Namun ada yang menutup mata dan marah pula jika tindakan diambil. Ini memperlihatkan perjuangan mereka menentang rasuah mempunyai nawaitu lain sekali gus merencatkan usaha yang dilakukan untuk mengukuhkan integriti di negara ini.

Jadi, perjuangan membanteras rasuah memerlukan mereka yang benar-benar komited tanpa memilih warna politik. Biar pun banyak yang telah dilakukan di Malaysia sejak merdeka daripada penubuhan Badan Pencegah Rasuah, Biro Siasatan Negara hinggalah SPRM, kita memang masih belum sempurna tetapi bezanya, kita sentiasa mahukan penambahbaikan dan kita melakukannya.

Oleh Herman Hamid.