Berkata Buruk Tentang Negara Tidak Akan Membantu Memulihkan Ekonomi

Imej mengenai kemerosotan dan kemegahan negara tidak ditentukan oleh agensi penarafan tetapi ditentukan oleh semua pihak di negara ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Oleh kerana itu, beliau menyeru semua pihak agar memainkan peranan dalam menceritakan situasi sebenar yang berlaku di Malaysia untuk memastikan ‘junk status’ tidak berlaku di negara ini.

“Ia terpulang kepada kita untuk menceritakan perkara sebenar kepada pelabur, sama seperti yang kita lakukan sebelum ini,” katanya sewaktu ditemui media selepas merasmikam Ekspo Buku Wang Saku di Sasana Kijang pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zeti berkata, ketika Krisis Kewangan Asia (AFC), pelbagai tohmahan telah dilemparkan terhadap keadaan dan situasi kewangan negara.

Namun pada 1999, kurang dari setahun selepas krisis itu berjaya diatasi, kita berjaya menceritakan kepada dunia cerita sebenar mengenai Malaysia, katanya.

“Jadi, inilah yang kita mesti lakukan, supaya pelabur dapat melihat bagaimana kita menangani situasi, dan mereka (pelabur) dapat melakukan penilaian,” ujarnya lagi.

Pendapat sama turut dikongsi Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau mengingatkan agar jurubank di negara ini mengawal diri daripada “menggetarkan” pasaran dengan membincangkan isu ekonomi yang menjejaskan Malaysia di Instagram.

Melalui akaun Twitter miliknya @mpkotabelud, Rahman berkata tidak kira betapa kuat tarikannya, mereka tidak boleh membuat kenyataan menimbulkan kebimbangan pasaran.

“Bagaimana menarik pun sesuatu itu dari segi politiknya, seorang jurubank mesti menahan diri daripada membuat kenyataan yang hanya menambah kepada kebimbangan pasaran. Itu paling utama.”

“Jika anda hendak menunjukkan keprihatinan, katakannya sekali dan kemudian diamkan diri. Orang tahu apa yang anda maksudkan pada kali pertama itu. Jangan getarkan pasaran.

“Tidak bijak untuk menggunakan Instagram membincangkan isu ekonomi yang memberi kesan besar kepada Malaysia. Gunakan platform rasmi. Jangan meremehkan isu itu.” katanya.

Sumber:http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/09/28/cerita-baik-baik-mengenai-negara-bantu-pulih-ekonomi-zeti/