Bil RM65,000 Akan Dihantar Kepada Maria Chin – Abdul Rahman Dahlan, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan & Kerajaan Tempatan

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan akan menghantar bil berjumlah RM65,000 kepada penganjur perhimpunan Bersih 4, Maria Chin Abdullah bagi proses pembersihan kawasan perhimpunan terbabit.

“Saya akan menghantar bil tersebut kepada Maria Chin dalam minggu ini juga.

“Banyak kawasan yang kotor, sampah merata-rata yang dilakukan para pemprotes,” katanya pada sidang media pelaksanaan pengasingan sisa pepejal di punca di MAEPS, di sini, hari ini.

Menurutnya ia tidak termasuk kerosakan yang dilakukan pemprotes dan perkara berkenaan akan diserahkan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Ada juga yang kencing merata-rata dalam longkang, dinding bangunan, tepi pokok dan lain-lain tempat,” katanya.

Bersih 4 berlangsung pada 29 Ogos lalu.

Perhimpunan itu diadakan serentak di Kuala Lumpur, Kuching di Sarawak dan Kota Kinabalu di Sabah.
Di Kuala Lumpur, lima lokasi ditetapkan sebagai lokasi berhimpun sebelum berarak ke Dataran Merdeka iaitu Sogo KL, Pasar Seni, Dataran Maybank, Brickfields dan Masjid Negara.