Cadangan Membina Empangan Pada Tahun 2009 Ditentang Hebat oleh DAP Di Mana Ia Boleh Menyelesaikan Masalah Air di Kota Belud Untuk Selama-lamanya

Tony Pua cuba mengacau Abdul Rahman Dahlan hari ini apabila beliau berkongsi artikel The Malaysian Inciter dan memberi komen, “Apa yang memalukan ialah, terdapat dua menteri kabinet dari kawasan itu dan salah seorangnya merupakan ahli Parlimen Kota Belud sendiri tetapi tidak melakukan apa-apa.”

Dalam artikel itu, salah satu isu utama yang dibangkitkan ialah kekurangan pengeluaran padi dan juga isu-isu bekalan air.

Ini bagaimana Abdul Rahman Dahlan menjawab Tony Pua:

“Jika anda melakukan rujukan terlebih dahulu, anda akan tahu bahawa DAP yang harus dipersalahkan dalam hal ini sebenarnya,” menurut twitter Abdul Rahman.

Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan, BN telah mencadangkan empangan pada tahun 2009 sebagai penyelesaian masalah air di kawasan itu.

Katanya, dengan projek empangan itu nanti, masalah air dapat diselesaikan serta memberi kemudahan pengairan sawah padi di kawasan itu.

“Cadangan membina empangan ditentang hebat oleh DAP, di mana ia boleh menyelesaikan masalah air di Kota Belud untuk selama-lamanya,” kata beliau.

Jelas Abdul Rahman, empangan itu juga akan meningkatkan hasil pengeluaran padi kepada tiga kali setahun secara tidak langsung meningkatkan pendapatan petani.

“Pembinaan empangan itu juga bertujuan untuk menyelesaikan masalah banjir selain isu bekalan air, pengairan, penjanaan tenaga elektrik serta menjadi tumpuan pelancong.

“Walau bagaimanapun, pemimpin DAP yang tidak bertanggungjawab telah menentangnya. Untuk apa? Politik!” menurutnya menerusi akaun twitter itu.

Abdul Rahman turut menegaskan, ‘pemimpin DAP semua sama’, mereka bersetuju untuk pembinaan empangan baru di Pulau Pinang dengan alasan yang sama tetapi menentang pembinaan di kota Belud.

“Jadi jangan cuba untuk menyalahkan orang lain. Penduduk Kota Belud tidak akan memaafkan DAP kerana bersifat munafik,” katanya.

Namun kenyataan twitter Abdul Rahman itu masih belum dapat mendapat maklum balas daripada Tony Pua.

Sumber: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/20/rahman-dahlan-tony-pua-berperang-di-twitter/