Dakwaan Tidak Berasas Wall Street Journal. 1MDB Berdiri Teguh Dengan Akaun Yang Telah Diaudit

Kami merujuk kepada artikel berat sebelah oleh Wall Street Journal hari ini berkenaan pembayaran AS$1.4 bilion oleh 1MDB. Kami mengambil maklum bahawa Wall Street Journal tidak menamakan sumbernya atau memberikan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan tidak berasas yang dibuat olehnya, lantas menjejaskan kredibiliti artikelnya yang bersifat sensasi tersebut.

1MDB tidak dapat mengeluarkan kenyataan bagi pihak Aabar atau IPIC, dan tidak dapat membuat sebarang komen berkenaan urusan perakaunan pihak ketiga. Apa yang kami dapat sahkan ialah penyata akaun diaudit 1MDB dengan jelasnya telah menyatakan jumlah dan tujuan pembayaran, dan bagi mengelakkan sebarang keraguan, ia distruktur sebagai deposit (iaitu aset kewangan yang dimiliki 1MDB dan bukannya perbelanjaan oleh 1MDB).

Kedua, berdasarkan pembayaran tersebut, kami mengesahkan bahawa IPIC telah dan akan terus memberikan jaminan bagi prinsipal dan faedah ke atas 2 x bon AS$1.75 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB, dengan jumlah keseluruhan prinsipal dan faedah kira-kira AS$5.5 bilion.

Ketiga, kami mengesahkan bahawa auditor 1MDB iaitu Deloitte, telah membuat siasatan yang spesifik dan terperinci berkenaan pembayaran tersebut sebelum memberikan kelulusan (sign-off) ke atas penyata akaun diaudit 1MDB.

Keempat, Deloitte dengan sesungguhnya telah mempertahankan kaedah mereka dan proses audit 1MDB ketika sidang Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), sebuah jawatankuasa dwi-partisan terpilih oleh Parlimen Malaysia. Oleh itu, Wall Street Journal adalah salah bila menyebut “adalah tidak jelas apa yang berlaku kepada dana tersebut”, sekurang-kurangnya tidak daripada perspektif 1MDB.

Lebih penting lagi, kami tidak menyangka sebuah penerbitan yang sehingga kini mempunyai reputasi baik seperti Wall Street Journal akan menggunakan maklumat yang secara terang-terangan adalah sulit dalam laporannya. Kami merujuk secara spesifik pengesahan WSJ bahawa ia telah mengkaji sebuah “transkrip prosiding” daripada sebuah jawatankuasa parlimen yang menyiasat 1MDB, yang mana satu-satunya sumber yang berkemungkinan ialah sidang PAC berkenaan 1MDB.

Peraturan Mesyuarat (Standing Orders) Parlimen Malaysia dengan jelasnya menyatakan bahawa “Keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Pilihan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh siapa-siapa ahli Jawatankuasa itu, atau oleh siapa-siapa jua, sebelum Jawatankuasa itu membawa penyata itu kepada Majlis”.

Tindakan Wall Street Journal ini merupakan perbuatan yang berkemungkinan melanggar undang-undang Malaysia oleh sebuah penerbitan luar yang dihormati. Kami juga ingin menyuarakan kebimbangan kami berkenaan pihak yang terbabit dengan sidang PAC yang mungkin telah membocorkan transkrip ini, yang secara jelasnya merupakan percubaan untuk menimbulkan prejudis terhadap siasatan PAC dan menafikan hak 1MDB terhadap proses wajar seperti yang termaktub dalam undang-undang Malaysia.

1MDB menyeru pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyiasat perkara ini dengan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memelihara integriti proses dan Peraturan Mesyuarat Parlimen Malaysia.

Arul Kanda
President and Group Executive Director
1MDB