DAP Tidak Mahu PAS Dalam Pakatan Rakyat 2.0 – Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP

DAP berkata ia tidak akan menerima PAS dalam gabungan baru pembangkang, Pakatan Rakyat 2.0.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perhubungan DAP dan PAS kini sudah tidak boleh diselamatkan kerana parti itu sudah mengisytiharkan DAP sebagai musuhnya.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali meminta PAS dibenarkan menyertai pakatan baru pembangkang tetapi Guan Eng berkata, DAP sudah tidak boleh lagi menerima PAS.

“Bagaimana kita mahu berada dalam pakatan sama apabila PAS menyatakan ia akan bertanding melawan kita?” beliau memberitahu wartawan Isnin.

Katanya, PAS sudah mengisytiharkan DAP sebagai musuh nombor satunya – bukan Barisan Nasional atau Umno – maka jelaslah ia akan bertanding di kawasan dikuasai DAP.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan sebagai berkata semalam, parti itu bercadang untuk bertanding di kerusi milik DAP pada pilihan raya umum akan datang.