Dokumen Palsu Dikemukakan Kepada Kerajaan Asing?

Enam hari reman oleh mahkamah? Dokumen palsu dikemukakan kepada kerajaan asing? Bunyi agak serius.

Bagaimanapun, tidak mengapa kerana Khairuddin berkata, beliau tidak peduli dengan Polis.


Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat perintah tahanan reman selama enam hari terhadap bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam utama Khairuddin, Stanley Augustin.

Stanley berkata, Khairuddin ditahan kerana didakwa menyerahkan dokumen palsu berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada beberapa pihak berkuasa antarabangsa.

“Mereka (polis) mengatakan dokumen yang dia (Khairuddin) berikan kepada pihak berkuasa Switzerland dan Perancis adalah palsu.

“Hujah saya adalah, bagaimana kamu boleh mengatakan bahawa ia adalah palsu sedangkan kamu tidak pernah melihatnya,” katanya kepada media di hadapan Balai Polis Dang Wangi pada Sabtu.

Perintah tahanan reman terhadap Khairuddin itu dikeluarkan oleh Majistret Asyraf Abdul Manan.

Khairuddin ditahan di rumahnya di Mont Kiara pada petang Jumaat dan disiasat mengikut Seksyen 124 (C) Kanun Keseksaan atas tuduhan cuba menggulingkan kerajaan.