Felixia Yeap Kesal Gambarnya Diguna Untuk Kempen Parti Amanah

Model Felixia Yeap enggan dirinya dikaitkan dengan parti yang baru dilancarkan, Parti Amanah Negara (Amanah), selepas gambar kononnya menunjukkan beliau menyokong parti itu tersebar di rangkaian sosial.

Bekas model majalah Playboy yang memeluk Islam pada Julai tahun lepas itu dilaporkan berkata beliau tidak mahu gambar atau namanya digunakan untuk sesuatu yang mempunyai kaitan dengan politik.

“Saya tidak berminat untuk terlibat apa-apa yang berkaitan politik. Sila padam gambar ini. Keadaan terdesak anda membuat anda kelihatan menyedihkan,” kata Felixia atau nama Islamnya Raisha Rania, dalam laman Facebook, Sabtu.

Gambar itu menunjukkan gambarnya dengan kata-kata, “Saya Felixia Orang Cina & Beragama Islam” dan “Islam rejects racism”.

Terdapat juga simbol Amanah dalam gambar tersebut.

Parti Amanah telah dilancarkan secara rasmi pada 16 September dengan acara itu dihadiri oleh pemimpin PKR dan DAP.

Kepimpinan tertingginya terdiri daripada bekas ahli-ahli progresif PAS.

Sementara itu, Pemuda AMANAH Negeri Melaka hari ini memohon maaf secara terbuka kepada Felixia di atas kejadian itu.

“Pemuda AMANAH Negeri Melaka mengambil maklum mengenai isu Poster Anti Rasis yang menggunakan foto Saudari Felixia @ Raisyya Rania. Kami mengakui bahawa poster itu telah dibuat dan dikeluarkan oleh Pasukan IT kami yang ianya di bawah seliaan Pengarah Komunikasi, Pemuda AMANAH Negeri Melaka.

“Pihak kami juga amat PEDULI dengan teguran & pandangan Saudari Felixia yang tidak mahu foto beliau dikaitkan dengan mana-mana aktiviti pertubuhan politik.

“Kami mengakui kesilapan pihak kami yang asalnya berniat untuk menyampaikan mesej “ISLAM MENOLAK RASIS” yang ianya juga menjadi pendirian kami tetapi telah menjadi kontroversi kepada pihak Saudari.

“Namun kami tetap mengakui bahawa niat yang baik juga perlu dilakukan dengan cara yang betul. Justeru itu, pihak kami telah mengambil keputusan untuk:

“Memohon maaf secara terbuka kepada Saudari Felixia berhubung isu ini dan pihak kami berjanji akan lebih cakna & berhati-hati dalam menghasilkan sebarang iklan, poster dan sebagainya di masa akan datang.

“Untuk makluman semua, pihak kami telah pun memadamkan semua status yang berkaitan poster tersebut dalam masa kurang 24 jam ianya dikeluarkan kerana kami mendapati ianya tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan pihak kami,” kenyataan Pemuda AMANAH Negeri Melaka dipetik.

Sumber: https://aidcnews.wordpress.com/2015/09/19/model-felixia-yeap-kesal-gambarnya-diguna-kempen-parti-amanah/