Hanya sebab anda tidak bersetuju dengan sesuatu atau seseorang, itu sudah mencukupi untuk anda dipanggil rasis.

Jerit sahaja ‘rasis’ dan majikan anda tidak akan berani memecat anda kerana prestasi kerja yang kurang memuaskan. Jerit sahaja ‘rasis’ dan pihak berkuasa tempatan akan beralah dan tidak akan menolak permohonan anda untuk mendirikan rumah ibadah atau pusat kebudayaan di dalam sebuah kawasan kejiranan. Jerit sahaja ‘rasis’ dan kerajaan pasti akan beralah dan menaikkan kuota untuk ‘pelarian’ ekonomi.

Ianya berhasil setiap kali digunakan. Tuduhan perkauman merupakan satu senjata yang berkuasa untuk menyerang mereka yang tidak bersetuju dengan anda. Ia menjadikan pihak yang menyerang anda terpaksa menghadapi serangan dari anda pula. Tiada siapa yang suka dipanggil rasis. Jadi mereka mengalah untuk mengelak dipanggil rasis.

Orang Cina yang mempromosikan pendidikan di dalam bahasa ibunda dan mendirikan sekolah Cina tidak suka dipanggil rasis. Mereka akan berhujah yang mereka hanya mempertahankan hak kaum Cina dan pendidikan di dalam bahasa ibunda mereka dan sekolah Cina merupakan salah satu hak mereka dan tidak bersifat perkauman.

Kepada mereka yang menentang hak kaum Cina ini akan dilabel sebagai rasis dan menafikan hak orang Cina. Jadi mereka akan beralah dan tidak akan membantah pendidikan di dalam bahasa ibunda dan penubuhan sekolah Cina kerana tidak mahu dipanggil sebagai rasis.

Orang melayu yang mempertahankan Artikel 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan dan pengekalan hak orang Melayu juga akan dipanggil rasis. Jadi, ramai orang Melayu mahukan Artikel 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan itu dimansuhkan dan hak orang Melayu dihapuskan. Ini bukanlah sebab mereka bersetuju dengan perkara ini tetapi disebabkan mereka tidak mahu dipanggil rasis.

Mereka yang membantah Artikel 153 di dalam Perlembagaan dan pengekalan hak orang Melayu juga akan dipanggil rasis dan mereka tidak suka dipanggil rasis. Jadi mereka akan berhujah yang pemansuhan artikel 153 dan hak istimewa orang Melayu adalah untuk kebaikan orang Melayu kerana polisi sebegitu hanya akan membuatkan orang Melayu lemah, malas dan tidak berupaya bersaing.

Orang Melayu adalah gagal dan mereka akan menjadi berjaya jika mereka belajar untuk bersaing berbanding ‘dimanjakan’ oleh kerajaan dengan gula-gula dan kuota yang memberikan mereka kelebihan yang tidak adil. Dasar Ekonomi Baru adalah rasis dan itu yang menyebabkan kegagalan orang Melayu dan sesiapa yang menyokong DEB akan dilabel sebagai rasis.

Timbalan Perdana Menteri terpaksa mengeluarkan satu kenyataan untuk menafikan yang beliau merupakan seorang yang rasis. Beliau dituduh rasis kerana beliau berbangga dengan susur galur keturunan Indonesia beliau. Jadi itu menjadikan beliau rasis.

Jika seorang Cina berkata beliau berbangga dengan peradaban Cina yang telah berusia lebih 5000 tahun, adakah beliau akan dipanggil rasis? Kemungkinan besar tidak kerana orang Cina merupakan minoriti di Malaysia dan anda tidak dibenarkan untuk mengkritik golongan minoriti atau nanti anda akan dipanggil rasis. Hanya kumpulan majoriti yang boleh dikritik.

Jika anda memanggil seseorang jahat, gila seks, pedofil dan sebagainya, anda perlu mempunyai asas mengenainya dan perlu membuktikannya. Tetapi memanggil seseorang rasis tidak memerlukan bukti. Hanya sebab anda tidak bersetuju dengan sesuatu atau seseorang, itu sudah mencukupi untuk anda dipanggil rasis.

Saya telah bercakap mengenai sesuatu lama dahulu, lebih dari sekali, dan saya telah dipanggil rasis kerananya. Saya berkata hubungan kaum di Malaysia adalah sangat teruk. Ianya sudah pun teruk sejak tahun 60an dan 70an. Hanya sebab orang ramai tidak mahu membincangkannya secara terbuka kerana ia adalah isu yang ‘sensitif’.

Saya juga mengatakan Malaysia adalah bom jangka yang hanya menunggu untuk meletup. Melayu, Cina, India dan sebagainya tidak begitu bersatu. Mereka hanya bertoleransi antara satu sama lain. Dan toleransi itu hanyalah untuk memastikan mereka hidup dengan aman supaya tiada masalah perkauman akan timbul.

Perkataan ‘toleransi’ adalah perkataan kedua paling banyak digunakan selepas ‘perkauman’. Dan saya menjelaskan bahawa ini adalah tidak baik. Jika orang Melayu, Cina, India, dan sebagainya, perlu bertolak ansur antara satu sama lain maka ini tidak baik. Ia adalah tanda yang sangat buruk.

Anda bertoleransi dengan tahi anjing yang ditinggalkan oleh anjing jiran anda di halaman anda setiap hari. Anda bertoleransi dengan jiran anda memainkan muzik dengan kuat hampir setiap tengah malam. Anda bertoleransi dengan jiran anda meletakkan kereta di hadapan rumah anda hingga menghalang laluan anda.

Jiran anda sangat pentingkan diri sendiri dan tidak bertimbang rasa. Dan anda bencikan beliau kerana itu. Tetapi anda bertoleransi hanya untuk mengekalkan keamanan dan tidak mahu bergaduh dengan beliau. Jadi toleransi adalah satu perkataan yang negatif, bukan positif.

Dan itulah yang dilakukan oleh orang Melayu, Cina, India di Malaysia. Mereka bertolak ansur antara satu sama lain. Tetapi masing-masing menganggap yang lain sebagai rasis. Tetapi mereka bertoleransi dengan perkauman ini kerana mahu mengelak konflik. Ini tidak bermakna, ada perasaan sayang di antara kaum-kaum ini.

Tetapi toleransi ada hadnya. Satu hari nanti, anda akan melebihi had dan tidak mampu lagi bertoleransi. Dan ketika itulah anda akan meletup. Inilah masalahnya di Malaysia. Kita telah tinggal bersama untuk satu jangka masa yang lama dengan semangat bertolak ansur. Dan kita berbangga kerananya. Tetapi kita tidak menyedari yang toleransi adalah perkara yang negatif, bukan positif.

Oleh Raja Petra Kamarudin,
http://www.malaysia-today.net/scream-racism-as-a-weapon-of-attack/