Himpunan BERSIH Dicemari Unsur Politik DAP

1) Kami berasa terpanggil untuk membuat kenyataan akhbar ini oleh kerana perkembangan politik tanah air yang semakin keruh akibat politik pelampau dan berbaur perkauman yang menyebabkan kebimbangan dan ketegangan awam dan umumnya ketidakselesaan serta membawa implikasi negatif kepada keharmonian negara dan ekonomi.

2) Terlebih dahulu, DAP perlu menerima hakikat bahawasanya BERSIH 4 telah dipolitikkan dan diperalatkan atau “hijacked” oleh DAP dengan niat dan matlamat buruk serta agenda politik mereka melalui demonstrasi jalanan.

3) Demonstrasi BERSIH 1,2 dan 3 sebelum ini tidak menerima apa-apa tindak balas politik dari pihak lawan kerana sentimen perkauman dan keagamaan tidak diusik. Dalam BERSIH 4 yang didalangi DAP, penyokong-penyokongnya telah memijak gambar seorang Tok Guru dan pemimpin Melayu. Selain dari memijak gambar mereka, istiadat pengkebumian dan memukul efigi serta menggunakan penyapu untuk menyapu mereka telah menyinggung dan memprovokasi emosi orang Melayu untuk bertindak balas.

4) Hadi Awang adalah seorang ulama yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia. Tindakan penyokong DAP yang keterlaluan telah menyebabkan api kemarahan penyokong-penyokong yang menyanjunginya. Begitu juga tindakan istiadat pengkebumian Perdana Menteri dan isteri telah mengguris hati dan menyinggung perasaan dan emosi orang Melayu yang menganggap tindakan ini adalah biadap dan melampaui batas.

5) Tindakan-tindakan ini telah mencetuskan tindak balas berbaur perkauman yang melampau. Kami menyarankan agar DAP bertaubat dan sedar diri bahawa provokasi-provokasi politik seperti ini tidak kena dan tepat pada masa ini di mana negara sedang menghadapi krisis ekonomi global dan kejatuhan nilai ringgit.

6) Kami juga ingin menegur pelampau-pelampau yang menyertai Himpunan Baju Merah yang telah bertindak di luar batasan undang-undang dan bertindak ganas.atau mengancam untuk bertindak balas secara keganasan. Segala tindakan demonstrasi dan tunjuk perasaan mesti dihentikan sekarang juga sebelum padah atau maut menimpa.

7) Kami juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia kerana berjaya mengawal keadaan dan ketenteraman awam tanpa mengira samada pesalah adalah dari BERSIH 4 dan Himpunan Baju Merah.

8) Sedarlah bahawa pembinasaan negara dapat berlaku dalam sekelip mata tetapi pembinaan negara mengambil tempoh masa yang lama. Begitu jugalah jambatan silaturahim dan hubungan baik antara kaum dalam negara adalah menjadi kebanggaan rakyat dan negara.

9) Akhirnya kami ingin mengingatkan penyokong DAP dan Himpunan Baju Merah supaya menghentikan segala tindakan-tindakan negatif mereka dengan segera dan memohon pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas ke atas mereka.

KENYATAAN AKHBAR BERSAMA OLEH:
Datuk Liang Teck Meng, Setiausaha Agung Gerakan &
Dato Ti Lian Ker, Ketua Biro Agama dan Harmoni MCA.

30 September 2015.