Jangan Berhimpun Jika Perpaduan Dipertaruhkan

Sekiranya ‘Himpunan Rakyat Bersatu’ yang dirancang pada 16 September ini bertentangan dengan semangat perpaduan Hari Malaysia dan ia juga sepatutnya dilabel sebagai ‘menyalahi undang-undang’ sebagaimana perhimpunan Bersih 4.0.

Bercakap menegnai perhimpunan itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, ia tidak boleh diterima sekiranya hanya bertujuan untuk bersaing dengan himpunan Bersih 4.0.

“Saya bersetuju dengan perhimpunan yang menyatukan rakyat Malaysia dan menyambut hari penting kerana kebiasaannya kita lakukan setiap tahun, bagaimanapun sekiranya ia hanya sebagai tindak balas terhadap perhimpunan Bersih 4.0, maka ia tidak boleh diterima.

“Tiada masalah untuk memakai baju merah pada sambutan Hari Malaysia sekiranya ia memang bertujuan untuk menyambutnya mewakili penyatuan dalam kalangan kaum di Malaysia, bagaimanapun sekiranya ia hanya untuk provokasi, saya percaya ia adalah salah sama juga dengan memakai baju kuning untuk timbulkan provokasi ianya salah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata, Hari Malaysia sepatutnya tidak melambangkan perkauman, politik atau kebencian agama, tetapi ia perlu melambangkan keharmonian dan keamanan yang dikecapi rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar semua rakyat Malaysia tidak ‘berfikiran sempit’ dan berharap agar perhimpunan ‘Rakyat Bersatu’ itu tidak membawa kepada kebencian.

“Sekiranya ia membabitkan perpaduan, kecintaan kepada negara dan perhimpunan itu sebagai satu sambutan penubuhan
Malaysia sebagaimana yang digambarkan pada perkataan ‘rakyat bersatu’ itu sendiri, saya yakin ia mesti diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup menggesa penganjur agar menghentikan niat untuk berhimpun pada 16 September bagi memastikan keharmonian negara tidak terjejas.

“Tindakan untuk mencabar satu lagi kumpulan lain dengan mengadakan perhimpunan adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan merupakan amalan politik cetek.

“Kita sebagai rakyat Malaysia perlu mengelakkan sebarang tindakan atau pehimpunan yang bertentangan dengan nilai perpasuan yang mampu mencetuskan provokasi di kalangan kaum dan menjejaskan reputasi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Kurup berkata, solidariti dalam kalangan rakyat perlu dipertahankan kerana tanpanya, Malaysia pasti berdepan kesukaran dalam mencapai status negara maju dan mencapai cita-cita itu menjelang tahun 2020.