Jangan Buat Spekulasi Tidak Berasas Tentang Kehilangan Kevin Morais – Datuk Azam Baki, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM

SPRM BERHARAP TUAN ANTHONY KEVIN MORAIS AKAN DITEMUI DENGAN SELAMAT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berharap Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais, yang dilaporkan hilang sejak hari Jumaat, 4 September 2015, akan ditemui dengan selamat secepat yang mungkin.

SPRM terkejut dengan berita kehilangan Kevin Morais dan berharap keluarga beliau akan bersabar sementara pihak Polis Diraja Malaysia sedang bertindak untuk mengesan beliau.

Kevin Morais pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, SPRM dan telah mewakili SPRM sebagai Timbalan Pendakwa Raya selama hampir 10 tahun sebelum kembali ke Jabatan Peguam Negara pada 1 Julai 2014. Beliau seorang yang sangat berdedikasi dan berkomited dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab sebagai Timbalan Pendakwa Raya, serta seorang yang sangat peramah.

Sepanjang tempoh bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Kevin Morais telah mengendalikan banyak kes berprofil tinggi dan sehingga kini masih mengendalikan beberapa kes melibatkan SPRM.

Merujuk kepada laporan portal Free Malaysia Today hari ini, SPRM juga berharap tidak ada mana-mana pihak membuat spekulasi tidak berasas mengenai berita kehilangan Kevin Morais dan mengaitkan dengan mana-mana siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM, dan juga siasatan polis berhubung kebocoran maklumat.

Saya sendiri mengenali Kevin Morais dengan rapat sejak berkhidmat di SPRM dan berharap semua pihak akan mendoakan keselamatan beliau.

DATUK AZAM BAKI
PENGARAH BAHAGIAN SIASATAN
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
6 SEPTEMBER 2015

https://www.facebook.com/sprm.benci.rasuah/posts/10153211787811936