Keharmonian Kaum Yang Dikecapi Negara Selama Ini, MUSNAH Akibat Keangkuhan & Keengganan DAP Memahami Orang Melayu Atau Umat Islam

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker cuba “melindungi” masyarakat Cina di negara ini, dengan memisahkan mereka daripada penyokong DAP.

Menurut Ti, keharmonian kaum yang dikecapi negara selama ini, musnah akibat “keangkuhan dan keengganan DAP untuk memahami orang Melayu atau umat Islam juga mempunyai sentimen dan kebimbangan mereka terhadap cakap angin parti itu kepada orang Cina dan penyokong Melayunya.

Beliau memberi contoh cara DAP memperkecil-kecilkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kelihatan seperti mereka menghina seorang pemimpin agama yang dihormati.

Beliau turut mengkritik Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok dengan menyifatkan beliau sebagai “bodoh” atau enggan mengakui kerosakan yang telah dilakukan DAP.

“Ternyata Teresa Kok sudah biasa mengambil pendekatan untuk melakukan serangan peribadi, dengan menyifatkan saya sebagai ‘dead man walking’.

“Hanya kerana dia berjaya mengeksploit sentimen Cina dan penganut Kristian tidak bermakna dia boleh angkuh dan tidak menghiraukan perasaan serta sentimen orang Melayu dan umat Islam, apabila pemimpin politik mereka diserang DAP atau penyokong DAP.

“Apabila pemimpin DAP menyerang atau merendah-rendahkan seorang pemimpin agama orang Melayu seperti Hadi atau pemimpin politik seperti (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib Razak, pemimpin DAP seperti Teresa Kok gagal memahami tindakan itu tidak diterima baik oleh penyokong mereka yang sabar, satu lagi ciri orang Melayu,” katanya.

Semalam, Kok menyifatkan Ti sebagai satu lagi ‘dead man walking’, kerana kenyataannya berhubung Bersih 4 bahawa perhimpunan itu diambil alih DAP.

Ti dalam satu kenyataan hari ini berkata, “Apabila pemimpin DAP mencuri tumpuan Bersih dan individu, tidak kira mereka ahli DAP atau sebaliknya, bertindak memijak gambar Hadi dan Najib, persepsi orang Melayu adalah ‘Ini Cina sudah melampau’ dan sudah tentu seluruh masyarakat Cina dipersalahkan.

“Kami berpendapat, ia sepatutnya ‘Ini DAP sudah melampau’ dan tidak babitkan masyarakat Cina yang lain.

“Menjadi tanggungjawab MCA untuk memisahkan masyarakat Cina daripada dikaitan dengan tindakan pemimpin DAP atau pesimpati mereka, sebelum penyokong Hadi atau Najib menyerang balas dan menyasarkan masyarakat Cina, gara-gara kemarahan mereka terhadap pendirian DAP.

Tambahnya, Kok patut bertanggungjawab terhadap kesilapannya, kerana mencetuskan kemarahan atau ketegangan kaum.

Ti berkata, dalam politik, sentimen perkauman dan agama akan menjadi tumpuan dan menjadi tanggungjawab MCA untuk melindungi masyarakat Cina secara keseluruhannya.

Sumber: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/07/tindakan-dap-tidak-mewakili-seluruh-masyarakat-cina/#ixzz3lFbZwQCb