Kenapa Lim Guan Eng Mahu Menyembunyikan Fakta Bahawa DAP Yang Sentiasa Melontarkan Cadangan Bekerjasama Dengan BN Bagi Mewujukan Kerajaan Campuran?

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng diminta supaya menghentikan fitnah yang dilemparkan kepada Pas terutama melibatkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Penerangan Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Guan Eng disifatkan sebagai tidak pernah jemu menjatuhkan imej Pas, sekalipun terpaksa mereka-reka cerita yang sama sekali tidak wujud.

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng yang meminta penjelasan daripada PKR selepas Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menegaskan pendirian mereka bahawa Pas sepatutnya berada dalam gabungan pembangkang baharu.

Selain itu, Guan Eng melalui sebuah portal online dilaporkan sebagai berkata, kemungkinan ahli Pas menyertai perhimpunan anti-Bersih, 16 September ini.

Ahmad Fadhli berkata, sebagai contohnya, di dalam isu 1MDB, Pas beberapa kali telah menyatakan pendirian bahawa isu itu adalah isu rakyat dan wajib ditangani pihak berkuasa dengan sebaik mungkin.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas negeri berkata, Pas sama sekali tidak pernah bersekongkol dengan sebarang penyelewengan yang dilakukan dan ia jelas terbukti melalui kenyataan media yang berterusan disiarkan melalui lidah rasmi Pas, sama ada melalui maya mahupun di media cetak.

“Kenapa Guan Eng mahu menyembunyikan fakta bahawa DAP yang sentiasa melontarkan cadangan bekerjasama dengan BN bagi mewujudkan kerajaan campuran? Naif sungguh seorang ketua menteri jika memperbodohkan rakyat dengan kenyataan provokasi seperti ini.

“Di dalam soal Pakatan Rakyat 2.0, Pas pastinya akan buat keputusan terbaik dan ia tidak perlu bergantung kepada seorang individu seperti beliau (Guan Eng),” katanya.