Kenapa Tony Pua Menghubungkan Clare Rewcastle Brown Dengan Pemilik The Edge, Tong Kooi Ong?

Akhirnya Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengakui beliau yang memperkenalkan editor Sarawak Report (SR) Clare Rewcastle Brown kepada pengerusi Kumpulan Media The Edge, Datuk Tong Kooi Ong. Kini ramai yang membangkitkan persoalan, kenapa beliau mengatur pertemuan berkenaan?

Adakah Tony Pua terlibat dalam komplot menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak?

Tony Pua pada satu sidang media semalam telah menyatakan beliau bertemu Brown beberapa kali di Singapura, London dan Indonesia.

Berdasarkan perbualan WhatsApp selama tiga bulan antara Clare Rewcastle Brown dengan warga Switzerland, Xavier Andre Justo, yang kini menjalani hukuman tiga tahun di Thailand atas tuduhan memeras ugut bekas majikannya, PetroSaudi International yang didedahkan oleh New Straits Times (NST), ia menunjukkan nama Tony Pua beberapa kali disebut dalam perbualan tersebut.

Apakah sebenarnya inti pati pertemuan antara Tony Pua dan Clare, memandangkan mereka telah bertemu beberapa kali? Apa yang dibincangkan dalam pertemuan sekerap itu dan berlaku di luar negara? Kenapa Malaysia tidak menjadi lokasi pertemuan?

Ia menjadi konspirasi yang diperkatakan apatah lagi Clare melalui Sarawak Report telah membuat pelbagai tuduhan liar terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan mengaitkan beliau dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Meskipun Tony Pua menafikan beliau mengenali Justo, tetapi peranannya dalam isu penjualan dokumen curi itu mencuri perhatian dengan pelbagai telahan dan spekulasi dibangkitkan serta dikaitkan dengan Tony Pua.

Kenapa Tony Pua memperkenalkan Tong Kooi Ong pada Clare? Memandangkan Tong sebelum ini mengakui telah memperdayakan Justo berhubung bayaran untuk mendapatkan maklumat mengenai projek usaha sama 1MDB-PetroSaudi, jadi penglibatan Tony Pua semakin diperkatakan.

Malah daripada petikan perbualan WhatsApp antara Justo dan Clare, ia jelas menampakkan bahawa Justo menjadi berang kerana bayaran sebanyak US$2 juta yang dijanjikan kepadanya tidak ditunaikan.

“Saya sudah meminta Tony mengatur pertemuan dengan Tong. Tunggu Tony untuk menyelesaikan perkara ini. Dia memperkenalkan saya dan sudah terbabit. Saya mengandaikan tiada pihak yang mahu menarik diri.”

“Saya sudah beritahu Tony kalau dia tidak bayar, dia akan dilihat seperti berurusan dengan saya pada ketika anda mengugut (untuk mendedahkan perjanjian),” itu perbualan antara Justo dan Clare.

Berdasarkan perbualan tersebut, ia menyebut bahawa Tony seperti terlibat dalam cubaan untuk menjatuhkan kerajaan.

Apa yang penting di sini, pihak polis perlu menyiasat dengan segera. Kita mahu tahu akan kebenarannya. Rakyat Malaysia tidak mahu ditipu.