Kerajaan Hapus Caj 10% Senggara Projek Perumahan Rakyat. Sebelum Ini Kerajaan Tampung 90% Kos itu Dan 10% Lagi Ditanggung Penduduk

Kerajaan memansuhkan polisi yang mewajibkan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara membayar caj 10 peratus bagi menampung kos penyelenggaraan kemudahan yang rosak khususnya lif.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan , Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor kos penyelenggaraan tinggi yang akhirnya akan membebankan penduduk di kawasan berkenaan.

Sebelum ini jelasnya, kerajaan menampung 90 peratus kos penyelenggaraan itu manakala 10 peratus lagi ditanggung oleh penduduk.

“Saya melihat dasar ini sudah tidak relevan kerana kos penyelenggaraan amat tinggi yang di luar kemampuan sehingga membebankan mereka, maka kita putuskan untuk menghapuskannya dan akan menanggung sepenuhnya kos menyelenggara kemudahan terutamanya lif.

“Tetapi dalam hal ini, kita memberi keutamaan kepada aspek keselamatan seperti lif, pendawaian elektrik dan penghadang,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat PPR Wangsa Sari, Wangsa Maju hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti, Wan Muhammad Ghazali Nor dan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Wangsa Sari, Mustafa Arbain.

Jelas Abdul Rahman, inisiatif itu selari dengan hasrat Perdana Menteri yang mahu nasib penduduk rumah kos rendah sentiasa terbela, dibantu dan diberi keutamaan.

“Kita (kementerian) mempunyai peruntukan RM140 juta untuk dibelanjakan bagi tujuan berkenaan, malah pihak seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga mempunyai peruntukan ssendiri bagi tujuan itu bagi membantu penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman memberitahu, keputusan itu bagaimanapun tidak melibatkan kerja menceriakan dan mencantikkan kawasan PPR seperti membuat landskap taman, mengecat semula mahupun membina gelanggang futsal.

“Keutamaan kita adalah aspek keselamatan, kita tidak mahu lagi penduduk terpaksa panjat tangga sehingga tingkat 17 gara-gara lif rosak, apa akan jadi kepada warga emas dan orang yang sakit.

“Kita juga tidak mahu berlakunya kebakaran berpunca daripada masalah pendawaian dan juga penghadang di PPR ini yang pecah sehingga mengancam nyawa penduduk,” jelasnya.