Sekolah Satu Aliran : Kerajaan Perlu Berani

Sistem pendidikan pelbagai aliran dilihat sudah tidak relevan untuk dilaksanakan di negara ini memandangkan Malaysia akan mencapai status negara maju tidak lama lagi.

Timbalan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Ezarudin Abdul Rahman berkata, sebagai sebuah negara maju, Malaysia memerlukan mobilisasi dan sistem pendidikan yang jelas dalam pembelajaran serta pengajaran.

Beliau berkata, tanpa menutup sekolah pelbagai aliran, perkara tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana sistem pendidikan telah berpecah mengikut jenis sekolah yang sedia ada.

“Oleh sebab itu, kerajaan perlu berani melaksanakan sistem sekolah satu aliran walaupun perkara tersebut akan mendapat tentangan daripada sesetengah pihak, namun percayalah ia akan memberi kebaikan kepada semua kaum di negara ini.

“Keutuhan perkauman dan semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan muda dapat dipertingkatkan sekiranya dididik sejak kecil lagi di bawah satu sistem yang sama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, sistem sekolah satu aliran merupakan antara usaha yang perlu diutamakan oleh kerajaan bagi memastikan setiap murid daripada pelbagai kaum dapat mengenali antara satu sama lain.

Katanya, keharmonian kaum di negara ini perlu bermula di peringkat sekolah rendah dan murid-murid seharusnya ditempatkan di bawah sistem atau aliran persekolahan yang sama, bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara melalui perpaduan kaum.

Tambah Ezarudin, sekolah vernakular merupakan salah satu tempat yang boleh merobohkan semangat muhibah rakyat pelbagai kaum sekiranya tidak dibendung dari awal.

“Sekolah-sekolah tersebut hanya menekankan pendidikan semata-mata tanpa mempedulikan keperluan murid terhadap ilmu kenegaraan dan berbeza dengan sekolah kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata, kerajaan perlu mengadakan sesi perbincangan bersama pemimpin-pemimpin kaum bagi mendapat kata sepakat berkenaan sekolah satu aliran.

“Mereka perlu diyakinkan bahawa kepentingan kaum dan bahasa ibunda tidak akan terjejas walaupun sekolah pelbagai aliran ditutup. Contohnya, Kementerian Pendidikan boleh mewujudkan silibus atau mata pelajaran bahasa ibunda masing-masing.

“Dengan itu, semua kaum di negara ini tidak akan rasa terjejas di samping dapat meningkatkan semangat perkauman kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.