Lim Guan Eng Berdepan Kecaman Selepas Arah Bunuh Anjing

Sekumpulan aktivis haiwan bebas dan badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Ketua Menteri Lim Guan Eng menghentikan segera aktiviti membunuh anjing yang dijalankan sekarang di negeri ini.

Seorang anggota jawatankuasa gabungan NGO ‘Stop Killing, Start Vaccinating’, Joel Gurprit Singh berkata membunuh anjing bukan penyelesaian kekal terhadap isu wabak penyakit anjing gila.

Beliau berkata Lim tidak mengamalkan dasar telus ketika menangani wabak anjing gila dan NGO tidak dirundingi sebelum negeri ini memutuskan untuk membunuh anjing-anjing terbiar dalam usaha menyekat penyakit itu dari merebak.

Bercakap kepada pemberita semasa tunjuk perasaan menentang langkah kerajaan itu, Singh berkata kerajaan negeri perlu menyuntik vaksin bukan membunuh anjing.

“Jika vaksin kekurangan, sebuah NGO global menawarkan untuk menyuntik vaksin pada anjing-anjing terbiar di Pulau Pinang,” katanya.

Lebih 60 wakil dari pelbagai NGO berhimpun di Sudut Penceramah di Padang Kota Lama dan membawa kad board “Stop killing” (Hentikan Pembunuhan).

Bagaimanapun, Lim Shiang Mey, seorang wakil daripada ‘Penang Hope Of Strays”, berkata sekumpulan NGO telah berbincang dengan Lim dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Shiang Mey berkata Lim memberitahu kumpulan itu bahawa keputusan membunuh anjing-anjing itu dibuat oleh jabatan kesihatan persekutuan dan DVS dan bukan kerajaan negeri.

“Lim memberitahu kami beliau akan menghentikan aktiviti pembunuhan anjing dengan syarat DVS menyatakan ada cara lain lebih baik bagi menyekat wabak anjing gila,” kata Shiang Mey.