Masalah Jerebu Boleh Dikatakan Sebagai Acara Tahunan Melibatkan 3 Negara, Indonesia, Malaysia & Singapura. ‘Tolonglah Bapak Presiden’

Masalah jerebu boleh dikatakan sebagai acara tahunan melibatkan tiga negara, Indonesia, Malaysia dan juga Singapura.

Berpunca dari kebakaran hutan di Indonesia, Awang Selamat hari ini melihat adanya keperluan untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi membanteras perkara yang sama berulang lagi setiap tahun.

“Mungkin sudah sampai masanya dalam menghadapi ancaman tersebut, Indonesia dengan dibantu oleh Malaysia dan Singapura membentuk pasukan petugas khas untuk mencari penyelesaian jangka panjang. Jangan malu dan teragak-agak untuk bekerjasama kerana masalah ini sudah ke tahap luar biasa kepada rantau ini.

“Awang yakin ia mampu diselesaikan sebagaimana slogan dalam satu kempen penduduk di Riau bahawa ‘ini (jerebu) bisa dihentikan.’ Presiden Jokowi perlu beri lebih perhatian dan keberanian politik kerana di bahu beliau juga terpikul tanggungjawab. Apa guna ada kuasa. Sekali lagi kami warga Nusantara ini sudah bosan, bosan, bosan. Tolonglah bapak Presiden,” katanya di dalam ruangan kolum di Mingguan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu jerebu yang melanda negara sehingga merencatkan aktiviti seharian rakyat ekoran masalah jerebu yang teruk.

Awang berkata bahawa masalah ini harus ditangani segera dengan kaedah yang sewajarnya.

Masalah bermusim ini menurut Awang sudah jelas mengundang rasa tidak senang rakyat dari Malaysia, Singapura malahan juga dari Indonesia.

“Sepatutnya kerajaan Indonesia lebih mengambil pendekatan pre-emtif dan pencegahan agar kita juga tidak berjerebu dalam mengatasi jerebu. Bayangkan lebih dua minggu kehidupan kita dalam jerebu, yang kerap pada tahap jerebu tebal sehingga sekolah ditutup dan penerbangan terbatal.

“Dengan segala kerugian kepada aktiviti ekonomi, pelancongan, menjejaskan kesihatan dan lain-lain yang besar mudaratnya, maka ia menuntut penyelesaian yang drastik dan berkesan. Awang menyertai sentimen rakyat ketiga-tiga negara yang tidak mahu lagi mendengar alasan demi alasan,” katanya lagi.

Sumber: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/20/isu-jerebu-tolonglah-bapak-presiden/