Sekolah Satu Aliran : Mereka fikir Ini Ada Agenda Licik Untuk Memelayukan Dan Mengislamkan Anak Cina

Petikan temuramah dengan Felo Utama Institut Kajian Etnik (KI TA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), PROF. DATUK DR. TEO KOK SEONG.

SOALAN: Cadangan untuk mewujudkan sekolah satu aliran itu bukan perkara baharu. Ia sering timbul apabila wujud masalah dalam hubungan antara kaum tetapi tidak pernah dibincangkan secara serius. Komen Datuk?

KOK SEONG: Ia hangat sekejap sahaja. Nampaknya kita tidak ada keberanian politik. Kerajaan yang memerintah pun tidak sanggup melakukannya dan yang berhasrat memerintah pun, saya rasa tidak sanggup melakukannya. Apa yang kita boleh buat sekarang ialah kita manfaatkan sistem yang pelbagai ini. Kita cari jalan terbaik.

Bukan tidak ada usaha daripada pihak kerajaan. Kerajaan sudah cari jalan. Tetapi nampaknya setiap kali Kementerian Pendidikan cari jalan untuk kita manfaatkan yang ada sekolah Cina dan macam-macam ini, ada pihak yang membantah. Sebagai contoh pada 2011, kita sudah mula dalam sistem pendidikan sekolah rendah itu, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kita mulakan dengan satu sistem seragam. Hendak seragamkan kurikulum di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan tetapi tidak berjaya.

Contoh, hendak seragam sukatan pelajaran Bahasa Melayu, yang di sekolah kebangsaan tidak sama dengan yang di sekolah jenis kebangsaan tetapi tindakan itu ditolak oleh kaum Cina dan India. Maksudnya mereka curiga dan balik kepada perasaan tidak percaya ini. Mereka fikir ada agenda politik daripada orang Melayu untuk memelayukan anak-anak Cina dan akhirnya mengislamkan anak-anak Cina.

Sebelum itu pun kita ada Sekolah Wawasan dan ada pihak yang bantah iaitu kaum Cina. Sekolah Wawasan itu tiga pentadbiran yang berlainan dan hanya wujud sebelah menyebelah sahaja, berkongsi padang permainan, kantin sekolah dan macam-macam lagi supaya ada integrasi antara murid. Di situ pun sudah nampak orang-orang tua ini tidak mahu dan hendak sekat. Mereka fikir ini ada agenda licik untuk memelayukan dan mengislamkan anak Cina. Sampai ke situ mereka fikir.

Cina Malaysia mesti jadi Cina Malaysialah. Dalam diri mereka mesti ada komponen Melayu sebab Melayu kaum dominan. Cina Malaysia mesti bezakan diri mereka dengan Cina di Hong Kong dan Taiwan. Takkan kita hendak struktur itu lagi. Itu zaman dahulu.
Kalau kita tengok orang bukan Melayu sama ada Cina atau India di Malaysia yang fasih berbahasa Melayu, kita nampak sikap positif mereka terhadap bahasa dan bangsa Melayu. Yang tidak fasih ini ada sikap negatif. Kita dapat fasihkan bahasa Melayu anak-anak kita melalui sekolah satu aliran. Mereka yang bersekolah di sekolah vernakular memang tidak fasih berbahasa Melayu.

Apabila fasih kita nampak sikap mereka lain seperti boleh ajak berunding dan toleransi. Apabila mereka fasih bahasa Melayu, mereka tahu budaya Melayu. Apabila tahu budaya Melayu, tidak ada salah konsep dan stereotaip serta benci membenci dan tidak ada kejutan budaya.