Nurul Izzah Ke Amerika Syarikat Untuk Mengadu Tentang Kecederaan Bahu Ayahnya & Untuk Menekan Purtajaya

Nurul Izzah Anwar berlepas ke Amerika Syarikat (AS) semalam, dalam usaha memberikan tekanan kepada Putrajaya agar membenarkan ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan pembedahan kerana kecederaan bahu.

Naib presiden PKR itu berkata, langkah itu terpaksa dilakukannya kerana panel doktor yang merawat Anwar mencadangkan pembedahan segera tetapi Putrajaya dilihat seperti melambat-lambatkannya.

“Saya akan berjumpa dengan pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat, ahli politik, pemimpin badan bukan kerajaan dan peguam antarabangsa untuk menjelaskan tentang keadaan Anwar,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider pada Ahad.

Nurul Izzah berkata, beliau juga akan memberikan penjelasan tentang skandal menyelubungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, termasuk derma RM 2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan isu syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, beliau juga akan membawa isu hak asasi manusia yang lebih besar di Malaysia seperti penggunaan Akta Hasutan terhadap ahli politik dan orang awam serta kes penindasan hak asasi manusia lain.

Di Amerika Syarikat, Nurul Izzah mengatakan akan dibantu Peguam Hak Asasi Manusia Jared Genser yang sebelum ini bertindak memfailkan permohonan rasmi kepada Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pemenjaraan Anwar.

Bagaimanapun puteri sulung kepada Anwar itu berkata, lawatan ke AS kali ini memfokuskan untuk mendapatkan bantuan bagi bapanya.

“Anwar perlukan pembedahan dengan segera dan ini dicadangkan sendiri panel doktor yang dipilih Kementerian Kesihatan,” katanya.

Katanya panel doktor mencadangkan, Anwar perlu diberikan pembedahan mikro atau pemindahan bahu (shoulder replacement) akan tetapi Putrajaya dilihat melambat-lambatkannya.

Menurut Nurul Izzah, beliau berharap sokongan antarabangsa dapat membantu Anwar mendapatkan rawatan segera.

“Saya bukan nak merayu kepada Amerika, Najib pun mempunyai hubungan baik dengan Presiden Barrack Obama,” katanya merujuk kepada hubungan rapat Najib dan Obama.

Minggu lalu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bersama Nurul Izzah dan seorang lagi anaknya, Nurul Nuha Anwar.

“Selepas perbincangan tadi, kami diberi jaminan ketua pengarah akan melakukan langkah-langkah pembaikan ke atas rawatannya.

“Kami akan beri pihak kerajaan masa dan kita akan tengok nanti,” katanya seperti dilaporkan media.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr S Jeyaindran menyangkal dakwaan Nurul Izzah itu.

Beliau memberitahu The Malaysian Insider menerusi satu teks pesanan ringkas (SMS) yang Anwar ketika ini dirawat oleh satu panel dianggotai 14 konsultan, semuanya cukup berpengalaman.

“Mereka sudah mengesyorkan rawatan untuk kecederaan bahu yang kronik itu,” katanya.

Katanya, keluarga Anwar sudah diberikan salinan dapatan panel itu dan antara beberapa pilihan, ia mencadangkan pembedahan dilakukan.

Jeyaindran berkata, panel itu juga menjemput beberapa pemimpin pendapat memeriksa keadaan Anwar dan mereka turut memberikan pandangan mereka.

“Mereka berikan beliau pandangan secara lisan tetapi sudah mengemukakan laporan mereka kepada kami.

“Kami sedang membuat persiapan supaya Anwar dapat diperiksa oleh doktor yang dirunding oleh keluarganya,” katanya dalam mesej itu.