Pakatan Harapan : Minta Maaf Atau Parti Sosialis Akan Saman

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mungkin akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menjelaskan atau meminta maaf atas apa yang disampaikannya mengenai ketidakhadiran PSM dalam rundingan meja bulat Selasa lalu. https://farm6.staticflickr.com/5734/21693407992_9297a5b5fe_z.jpg

Bekas Setiausaha Agungnya, S Arutchelvan berkata disebabkan dua ahli Parlimen pembangkang iaitu Khalid Samad dan Dr Ong Kian Ming telah mengelak diri dan menunding jari kepada Wan Azizah, maka adalah wajar Presiden PKR itu memberi penjelasan mengenai perkara berkenaan.

Menurutnya, PSM akan menghantar surat kepada Wan Azizah dan meminta penjelasan apa yang dinyatakannya dalam rundingan berkenaan atau sekurang-kurangnya meminta maaf kepada parti tersebut.

“Sekiranya tiada penjelasan atau permohonan maaf dilakukan maka PSM mempunyai ‘option’ untuk membawa perkara ini ke mahkamah dan kami sedang menelitinya tetapi belum membuat sebarang keputusan lagi.

“Memang ketika ini ramai ahli marah dengan kenyataan berkenaan dan ada yang hendak membuat laporan polis tetapi pimpinan parti minta mereka bersabar dan memberi peluang terlebih dahulu kepada Wan Azizah dan PKR untuk memberi penjelasan beliau,” katanya kepada The Rakyat Post hari ini.

Arulchelvan berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Khalid dan Kian Ming semalam yang mengatakan bahawa mereka hanya mengulangi apa yang dikatakan oleh Wan Azizah kepada pihak media mengenai ketidakhadiran PSM dalam rundingan meja bulat bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik anjuran PKR baru-baru ini.

Dua Ahli Parlimen itu mendakwa Wan Azizah telah memberitahu mereka bahawa PSM tidak dijemput, kerana tidak bersetuju dengan Dasar Perjanjian Bersama, termasuk melibatkan Artikel 153 berhubung hak-hak keistimewaan Bumiputera dan parti berkenaan bukanlah anggota dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR).

Namun, PSM menafikan dakwaan itu, malah PSM meminta bukti di mana, bila dan saksi yang hadir mendengar kenyataan bahawa PSM menolak hak-hak keistimewaan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Sebelum ini terdapat hanya tiga mesyuarat yang diadakan antara PSM pada PR dan isu Artikel 153 tersebut tidak pernah dibangkitkan dalam ketiga-tiga mesyuarat berkenaan.

“PSM tidak terdesak atau kecewa apabila tidak dijemput untuk menghadiri rundingan berkenaan kerana kami percaya ia adalah hak mutlak penganjur tetapi tidak boleh bertolak ansur dengan pembohongan secara terang-terangan ini.

“Oleh itu PSM mengharapkan agar Pakatan Harapan memberikan penjelasan yang sewajarnya dan kami mendoakan yang terbaik untuk gabungan berkenaan,” ujarnya.

Semalam, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja Malaysia (Amanah), Khalid Samad dilaporkan The Rakyat Post berkata PSM perlu mendapatkan penjelasan sendiri daripada Wan Azizah mengapa parti itu tidak dijemput menghadiri sidang meja bulat.

Khalid berkata, beliau hanya menyampaikan kepada pihak media, apa yang diberitahu oleh Wan Azizah kepada mereka yang hadir dalam rundingan berkenaan.

Jelasnya, beliau diberitahu bahawa PSM tidak dijemput, kerana tidak bersetuju dengan Dasar Perjanjian Bersama, termasuk Artikel 153 dan parti berkenaan bukanlah anggota dalam gabungan PR.

“Jadi, saya ditanya oleh pemberita mengenai ketiadaan PSM dan saya memberitahu apa yang disebut oleh Presiden PKR dalam rundingan berkenaan.

“Oleh itu, sekiranya pihak PSM tidak berpuas hati, mereka perlu bertanya kepada Wan Azizah atau PKR sebagai penganjur kepada rundingan berkenaan,” katanya.