PAS Mungkin Sertai Perhimpunan ‘Himpunan Rakyat Bersatu’ Anjuran Kumpulan ‘BAJU MERAH’

PAS tidak menolak kemungkinan untuk menyertai perhimpunan “baju merah” selepas menilai matlamat dan tujuan penganjuran perhimpunan tersebut untuk menyatukan Melayu, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut portal Astro Awani, presiden PAS itu menegaskan parti Islam itu akan kekal dengan prinsip memperjuangkan Islam.

“Yang menyatukan Melayu mesti Islam bukan semangat kebangsaan. Yang kedua, orang Melayu perlu mengambil kira kaum lain, jangan abaikan kaum lain.

“Ini kerana saya sebut dalam banyak ucapan saya… kaum lain juga adalah mangsa penjajahan,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

Beliau pada masa yang sama, mengkritik perhimpunan Bersih 4 baru-baru ini dengan mengatakan PAS tidak menyertainya kerana berpendapat ianya tidak wajar diadakan ketika negara di ambang sambutan Hari Kemerdekaan.

Hadi turut menyifatkan insiden peserta yang memijak gambarnya semasa perhimpunan itu sebagai satu tindakan kebudak-budakan sambil menyarankan supaya kerajaan tidak terjebak sama dengan tindakan tidak matang sedemikian.

“Saya anggap itu langkah kebudak-budakan. Saya anggap itu langkah budak, serah pada orang tua. Orang tua budak-budak tu. Saya harap kerajaan pun jangan jadi budak-budak.”

Himpunan Rakyat Bersatu yang dianjurkan kumpulan “baju merah” dijadualkan berlangsung pada 16 September di Plaza Low Yat dan Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur.