PAS Pertimbangkan Keputusan Untuk Tinggalkan Pakatan Selangor Akibat Dari Disisih Dalam Pakatan Baru

PAS mempertimbangkan keputusan untuk keluar dari pakatan kerajaan di Selangor berikutan DAP membentuk pakatan pembangkang baharu tanpa parti itu baru-baru ini.

Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, perbincangan mengenai perkara itu akan dibawa ke dalam mesyuarat jawatankuasa politik PAS tidak lama lagi.

Setakat ini, jelasnya, PAS masih lagi berada dalam pakatan pembangkang di Selangor berikutan pembentukan pakatan itu dibuat pada pilihanraya umum lalu.

“PAS tidak akan ada perhubungan lagi de­ngan DAP. Kita akan bawa berbincang mengenai perkara ini (keluar dari Selangor) dalam jawatankuasa politik PAS dalam masa terdekat.

“Pakatan pembangkang yang baharu masih baharu dan secara realitinya, PAS masih berada dalam pakatan kerajaan di Selangor sehinggalah pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. http://www.utusan.com.my/berita/politik/pas-timbang-keluar-dari-selangor-8211-mahfodz-1.141259

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang menggesa PKR supaya berhenti daripada terus mengharapkan PAS akan menyertai pakatan pembangkang baharu yang turut dianggotai DAP dan Parti Pekerja (Amanah).

Mohd. Amar berkata, pendirian PAS sangat jelas bahawa mereka sama sekali tidak akan menjalin kerjasama politik dengan DAP mahupun Amanah walaupun PKR berusaha menjadi pendamai.

Pada 22 September lalu, sebuah pakatan pembangkang yang baharu dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah ditubuhkan tanpa PAS.

Sementara itu, PAS Selangor menolak pandangan Dewan Ulama itu dan menyifatkan ia hanya sebagai pandangan sayap berkenaan sahaja.

Setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman berkata PAS Selangor masih kekal dengan pendirian untuk meneruskan kerjasama dengan kerajaan negeri berdasarkan keputusan Muktamar PAS yang diadakan pada awal Jun lalu.

“Pandangan (Datuk Mahfodz) itu adalah pandangan Dewan Ulama, sedangkan muktamar kita adalah kekal dalam Pakatan Rakyat.

“Keputusan Muktamar PAS adalah kekal dalam Pakatan Rakyat, jadi Datuk Menteri Besar sudah pun sebut Selangor ini adalah kerajaan Pakatan Rakyat, bukan kerajaan Pakatan Harapan, Pakatan Harapan tidak ada cerita di Selangor, itu kata Menteri Besar, jadi kenapa kita hendak keluar dari Selangor hanya kerana DAP membentuk Pakatan Harapan,” katanya kepada Antarapos ketika dihubungi. http://antarapos.com/bm/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wmb5NjZQ=%3D

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata keputusan untuk kekal dalam kerajaan Selangor ekoran memikirkan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada PAS semasa Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu.

“Keputusan kita adalah kita kekal (dalam Pakatan Rakyat Selangor), bahkan Datuk Pesuruhjaya, Datuk Iskandar Samad pun ada sebut kita akan kekal kerana ini adalah kerajaan pakatan, ini adalah mandat daripada rakyat kepada kita, jadi kita kekal dengan mandat yang ada itu,” katanya.