PAS Rasa Terkilan Terhadap PKR Yang Mengkhianati Polisi Tidak Menerima Ahli Daripada Parti Rakan

Dewan Pemuda Pas melahirkan rasa terkilan terhadap tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meng­khianati polisi tidak menerima ahli daripada parti rakan, se­perti dipersetujui dalam pakatan pembangkang sebelum ini.

Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, tindakan berkenaan dilihat bercanggah dengan pendekatan Pas selama ini yang tidak menerima ahli-ahli dan wakil rakyat daripada PKR, meskipun terdapat segelintir daripada mereka yang berminat untuk menyertai Pas sebelum ini.

“Ada juga kes-kes yang dimaklumkan kepada kita bahawa ahli-ahli dan wakil rakyat yang berminat memasuki Pas, kita tangguhkan kerana menjaga hubungan dengan parti lain. Oleh itu, dalam isu ini kita lahirkan rasa terkilan dengan rakan kita yang menerima tindakan melompat parti.

“Kita masih kekalkan dengan polisi untuk menghormati hubungan dalam pakatan dan insya-Allah, kita berharap perkara itu tidak berlaku dalam Pas selama mana kita menjadi rakan dalam pakatan pembangkang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas penyertaan Ahli Parlimen Tumpat daripada Pas, Datuk Kamaruddin Jaffar dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib ke dalam PKR semalam seperti diumumkan Presidennya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah berkata, pihaknya mengalu-alukan dan berbesar hati dengan penyertaan Kamaruddin serta Muhammad ke dalam keluarga besar PKR.

Kamaruddin yang sebelum ini pernah menjadi Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) akan berperanan sebagai Pengarah Politik dan Dasar PKR bagi memberi input kepada Presiden dan Timbalan Presiden parti.

Mengulas lanjut, Nik Moha­mad Abduh berkata, Pas pernah berdepan krisis dengan kedua-dua DAP dan PKR tetapi yang membezakannya adalah Pas masih menghormati PKR dan kekal dalam pakatan pembangkang biarpun hubungan bersama DAP dilihat ‘cacat’.

Sementara itu, beliau memberitahu, Kamaruddin turut akan menanggung bebanan bai’ah sama seperti rakan-rakannya yang menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

“Semua wakil rakyat yang melompat parti, mereka menanggung bebanan sama iaitu bai’ah menggunakan nama Allah,” katanya.

Ketika ditanya berhubung kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mengenai isu katak dan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat Pas, Nik Mohamad Abduh berkata: “Kita bukan parti katak tetapi mereka yang keluar daripada Pas layak dipanggil katak.

“Kalau tengok, Pas yang paling istiqamah dalam perjuangan parti malah jika dilihat penganjuran Bersih 4.0, ramai pihak mengakui Pas memainkan peranan penting dalam perjuangan pakatan pembangkang,” katanya.