PAS Tidak Akan Sertai Pakatan Pembangkang Baru – Abdul Hadi Awang, Presiden Pas

PAS tidak akan menyertai pakatan pembangkang baharu, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, tidak akan ada penyertaan daripada PAS dalam pakatan baharu atas sebab agenda yang tersirat di sebalik pakatan tersebut.

“Kita tidak boleh hanyut. Pakatan baharu semata-mata hanya untuk menang pilihan raya akan datang.

“Mereka tiada agenda untuk memartabatkan Islam,” katanya.

Jelasnya lagi, kewujudan pakatan baharu tidak jelas dalam mendaulatkan Islam malah membawa agenda sebaliknya.

“Konsep kita, mahu Islam didaulatkan dan dimartabatkan kerana kita tahu negara kita mempunyai majoriti beragama Islam,” katanya.

Beliau bercakap demikian kepada Ismaweb selepas pertemuan dengan Sekretariat Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit 2015) di sebuah hotel di sini petang tadi.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bertegas mahukan PAS menyertai pakatan pembangkang baharu tetapi tidak dipersetujui oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Azmin yang juga Menteri Besar Selangor masih menganggap Pakatan Rakyat masih wujud dan mahukan PAS terus kekal dalam pentadbiran kerajaan Selangor.

Sumber: http://www.ismaweb.net/2015/09/pas-tak-akan-sertai-pakatan-pembangkang-baharu-presiden-pas/