Perkahwinan Terbubar: Dr Mohd Hatta Ramli Perlu Rujuk Mahkamah Syariah

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob meminta Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli segera merujuk status perkahwinannya di Mahkamah Syariah selepas terbubar secara automatik dengan talak tiga setelah melanggar bai’ah yang dilafazkan.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan berkata, Ahli Jawatankuasa Parti Pekerja Malaysia itu secara jelas melanggar bai’ah yang dilafazkannya sebelum ini dengan menyertai parti lain tanpa meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

“Kita telah buat keputusan dan menghantar surat dengan turut melampirkan bai’ah yang pernah dilafazkan Mohd Hatta iaitu taklik talak tiga.

“Dari segi hukum, taklik yang dilafazkan telah terjatuh, itu pandangan diberikan Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco, di sini, hari ini.

Sementara itu Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, dalam isu ini Pas Kelantan berpegang kepada pandangan Ketua Hakim Syarie yang menyatakan dengan tegas bahawa lafaz taklik berjalan apabila wakil rakyat Pas keluar dari parti.

“Ketua Hakim Syarie juga telah buat kenyataan, orang yang terlibat mesti mendaftarkan penceraian di Mahkamah Syariah, jadi itu juga pegangan kita setakat ini,” katanya.

Difahamkan Mohd Hatta pernah melafazkan bai’ah cerai talak tiga, malah beliau satu-satunya wakil rakyat negeri ini yang terlibat dalam senarai tersebut.

Bai’ah (taklik jatuh talak tiga) yang dilafazkan setiap wakil rakyat Pas di negeri ini secara automatik telah jatuh selepas mereka memutuskan untuk keluar parti tanpa meletakkan jawatan.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/politik/dr-hatta-perlu-rujuk-mahkamah-syariah-1.426363