PM Umum Peringkat Utama Pelaksanaan Prinsip Penurunan Kuasa Kepada Sabah & Sarawak

Keputusan pelaksanaan prin­­sip penurunan kuasa kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak akan dibuat secara pentadbiran serta dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan tersebut juga sesuai dengan hasrat Sabah dan Sarawak untuk memainkan peranan lebih penting, sekali gus melambangkan hasrat rakyat kedua-dua negeri itu.

Untuk itu, beliau mengumumkan beberapa langkah pentadbiran iaitu seperti berikut :-

* Kerajaan negeri akan diberi peranan lebih besar dalam menentukan keutamaan projek-projek pem­bangunan dan lokasi projek yang akan dilaksanakan yang mana run­dingan akan diadakan di antara kerajaan Pusat dengan negeri;

* Jawatankuasa untuk penilaian tender bagi projek-projek Persekutuan boleh dilaksanakan di peringkat negeri melalui jawatankuasa yang dianggotai oleh Setiausaha Ke­rajaan Negeri dan wakil-wakil ke­rajaan Persekutuan;

* Temuduga bagi pengambilan jawatan dalam perkhidmatan awam seperti guru, polis dan sebagainya di negeri ini dan Sarawak tidak semestinya berpusat di bandar tertentu, sebaliknya turut diadakan di kawasan-kawasan lain yang ber­sesuaian bagi memudahkan pen­duduk di kawasan pedalaman menghadiri temuduga berkenaan;

* Salah satu perkara yang dianggap sebagai merumitkan keadaan yang mana terlalu banyak guru-guru (yang berkhidmat) di Sabah dan Sarawak datang dari Semenanjung, menyebabkan mereka tidak kekal lama di dua negeri itu. Oleh itu, kerajaan menetapkan sasaran 90 peratus guru terdiri daripada mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Sebagai contoh, jumlah guru anak kelahiran Sarawak ketika ini 32,168 orang. Ini bermakna dalam tempoh tiga tahun jumlah guru anak kelahiran negeri yang bertugas di Sarawak akan meningkat kepada 38,080 orang iaitu pertambahan sebanyak 5,914 orang.

“Selain itu, Pegawai Undang-Un­dang Negeri diberi kuasa oleh pendakwaraya di bawah Kanun Acara Jenayah untuk menjalankan kuasa-kuasa pendakwaan bagi kesalahan-kesalahan di bawah ordinan ne­geri,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Bangunan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pe­ngangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Najib berkata, kerajaan Persekutuan juga meluluskan 100 jawatan pegawai Jabatan Imigresen dalam menambah baik jumlah kakitangan jabatan tersebut di Sarawak (dan jumlah tertentu akan ditentukan bagi Sabah) untuk tujuan penguatkuasaan.

Tambahnya, dalam penurunan kuasa itu juga, pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak diberi kuasa warden trafik seperti menggunakan alat pengunci tayar (clamping) kenderaan di jalan raya awam serta tempat letak kenderaan awam.

Kata beliau, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga akan dilibatkan dalam jawatankuasa memilih serta meluluskan pemberian lesen perikanan lautan dalam.

“Sebagai landasan penurunan kuasa lebih besar kepada Sarawak, satu Jawatankuasa Bersama Persekutuan dan Negeri Sarawak akan diwujudkan untuk mengkaji empowerment secara pentadbiran supaya teratur dari segi pelaksanaan, kebolehlaksanaan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan perundangan dan pertindihan fungsi antara agensi Kerajaan Persekutuan dan agensi kerajaan negeri itu.

“Di samping itu, kita juga akan menaik taraf status Pejabat Daerah Serian kepada Pentadbiran Bahagian Serian dan menaik taraf tujuh pejabat daerah kecil kepada daerah penuh antaranya di Tebedu, Pusa, Kabung, Tanjung Manis, Sebauh, Subis dan Beluru. Dua pejabat daerah baharu diwujudkan iaitu Telang Usan dan Bukit Mabong manakala empat pejabat daerah kecil baharu iaitu di Bario, Tinjar, Long Bedian.