Ringgit Jatuh : Persekitaran Ekonomi Dunia Ketika Ini Masih Tidak Menentu Dan Malaysia Merupakan Antara Negara Terjejas Akibat Ketidaktentuan Tersebut

Nilai ringgit yang kini merosot ke paras terendahnya sejak tahun 1998, merupakan sesuatu yang tidak boleh dielakkan memandangkan ia dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi dunia.

Pada sesi dagangan hari ini, ringgit ditutup pada RM4.42 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susut berbanding RM4.38 pada Jumaat lalu.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, persekitaran ekonomi dunia ketika ini masih tidak menentu dan Malaysia merupakan antara negara terjejas akibat ketidaktentuan tersebut.

Katanya, selain harga komoditi, kejatuhan ringgit turut dipenga­ruhi oleh langkah AS yang mungkin menaikkan kadar faedahnya dan perkembangan ekonomi China yang perlahan.

“Situasi ketidaktentuan pasaran dijangka akan berterusan untuk beberapa tempoh akan datang. Kita perlu menerimanya memandangkan ekonomi dunia begitu dinamik dan dipengaruhi oleh banyak faktor.

“Apa yang kita boleh lakukan adalah dengan mengukuhkan kedudukan domestik kita bagi menghadapi cabaran ini,” katanya selepas majlis pembukaan pameran LATerasi Kewangan, di sini hari ini.

Pada Januari 1998, ringgit mencecah rekod terendah iaitu RM4.88 sebelum kerajaan pada masa itu menguatkuasakan tambatan ringgit pada RM3.80 berbanding dolar AS dalam usaha mengekang permainan spekulator yang turut menjejaskan beberapa mata wang negara serantau.

Tambah Zeti, sudah tentu rakyat mahu ringgit yang stabil ke­rana ada pelajar-pelajar di luar negara serta golongan peniaga yang begitu terdedah de­ngan perubahan nilai ringgit.

“Namun kita tidak boleh bertindak tergesa-gesa kerana negara lain turut menghadapi ketidaktentuan nilai mata wang masing-ma­sing,” katanya.