“Saya Bukan Pembocor Maklumat” Justo Menyatakan dia Hanya Mahukan Wang & Tidak Menyangka Data Dicuri Mencetuskan KRISIS POLITIK Yang Hebat Di Malaysia

Bercakap kepada akhbar harian Swiss Tages-Anzeiger baru-baru ini, lelaki berusia 48 tahun itu melahirkan rasa kesalnya selepas dijatuhkan hukuman penjara 3 tahun kerana memeras ugut bekas majikannya PetroSaudi International.

Beliau ditahan oleh pihak berkuasa Thai di kediaman mewahnya di Pulau Koh Samui. Beliau menjangkakan akan dikenakan hukuman yang lebih singkat.

“Saya telah bekerjasama sepenuhnya dengan Pihak Berkuasa Thai,” Justo dipetik sebagai berkata di dalam satu temubual panjang lebar, yang diterbitkan di Switzerland pada 5 Spetember 2015.

Justo berkata, beliau tidak mencabar hukuman yang dikenakan ke atas dirinya, tetapi agak terkilan dengan hukuman penjara yang lama ke atas dirinya sedangkan beliau bekerjasama sepenuhnya.

Walaupun beliau telah mengaku kesalahannya di dalam pengakuan setebal 11 muka surat, mahkamah Thai memutuskan beliau mesti menjalani hukuman penjara selama 3 tahun di dalam sebuah sel penjara yang sesak dengan 14 orang banduan lain di Bangkok.

“Ada 30 orang di dalam sel ketika saya mula-mula ditahan,” kata beliau.

“Kami terpaksa tidur secara menindih. Sekarang ianya lebih baik. Semuanya bersih dan warden kadang-kadang memberikan saya biskut.”

Justo telah memberikan temuramah di dalam bilik staff yang kebiasaannya akan digunakan oleh warden, di mana beliau melukis secara ringkas sel beliau dan bercerita tentang masalah tidak cukup tidur.

“Tidur paling sukar. Anda terlelap untuk setengah jam dan kemudian terjaga.”

Ketika temuramah, Justo berkata ada 15 katil di dalam selnya, di mana banduan akan membaca, makan dan tidur, ada 2 tandas dan satu televisyen di penjuru sel.

Menegaskan yang beliau sudah insaf, Justo berkata, apa yang dibuatnya adalah didorong perasaan tamak, bukannya ingin mencari kebenaran.

Beliau menjelaskan yang beliau bukan pembocor maklumat di dalam urusniaga antara 1MDB dan PetroSaudi: “Walaupun dipanggil sedemikian bunyinya baik.”

“Saya mahukan wang. Saya tamak,” Justo memberitahu penemuramah, menambah yang beliau mengugut bekas majikannya dan akan menjual data tersebut jika mereka tidak membayar 3.5 juta swiss francs yang dimintanya (RM15.6 juta).

Justo terus memberitahu yang beliau bingung bagaimana beliau boleh memperolehi idea tersebut. “Mengkhianati kawan lama dengan cara sedemikian rupa adalah sangat menjijikkan”

Meluahkan perasaan kesal yang mendalam, Justo tidak menyangka data yang dicuri beliau dari PetroSaudi yang telah diberikan kepada Pengerusi The Edge Media Group Datuk Tong Kooi Ong boleh mencetuskan krisis politik yang hebat di Malaysia.

Setelah temubual selama 75 minit itu tamat, Justo diarahkan untuk kembali ke sel beliau, tempat beliau akan berada untuk 3 tahun lagi.

Sumber: http://www.nst.com.my/news/2015/09/justo-i-did-it-just-money?d=1