sudah tiba masanya DAP bermuhasabah diri, maju ke depan dan berlaku jujur kepada rakyat.

Saya menyokong penuh kenyataan Zaid Ibrahim mengenai DAP yang berpura-pura tidak memahami orang Melayu seperti yang dilaporkan di dalam artikel ‘Zaid himself fails to understand real politics’ (The Rakyat Post, Sept 26, 2015).

Maka, sudah tiba masanya DAP bermuhasabah diri, maju ke depan dan berlaku jujur kepada rakyat.

1) DAP mula memperjuangkan kesaksamaan pada tahun 1969 yang bermakna mereka menentang hak istimewa yang dimiliki oleh orang Melayu. Sudahkah mereka menukar fikiran, memandangkan di dalam Buku Jingga, telah dinyatakan dengan jelas hak istimewa orang Melayu akan dikekalkan?

2) DAP memperjuangkan supaya bahasa Mandarin diiktiraf sebagai bahasa rasmi. Adakah mereka masih memberikan harapan palsu kepada pengundi Cina atau mereka telah menerima realiti politik hari ini?

3) DAP pernah mempersoalkan pemakaian songkok semasa majlis rasmi. Wakil Rakyat DAP pernah dilaporkan enggan memakai songkok ketika persidangan DUN dengan mengatakan ianya adalah pendirian parti mereka. Mereka juga telah menyebarkan satu gambar yang memaparkan seorang calon MCA bersongkok dengan niat untuk menimbulkan kebencian dalam satu pilihanraya umum pada tahun 1980an dan menang dengan tipis hasil eksploitasi tersebut. Sekarang pemimpin seperti bekas exco Selangor Ronnie Liu, MP Serdang Ong Kian Ming, bukan setakat memakai songkok, malah memakai sepersalinan penuh baju melayu. Jadi, bukankah patut berterus terang dan memohon maaf kerana eksploitasi sentimen perkauman untuk mendapatkan sokongan dan undian. MP Gelang Patah Lim Kit Siang patut memakai baju melayu untuk menunjukkan beliau telah bertaubat.

4) Hanya baru-baru ini DAP telah menunjukkan bantahan terhadap pembelajaran matematik dan sains di dalam bahasa inggeris. Kini mereka telah menerima Sasterawan Negara A Samad Said sebagai sebahagian dari mereka. Adakah ini bermaksud mereka telah menerima semangat kebangsaan Samad dan perjuangan beliau menjadikan Bahasa Melayu bahasa yang agung, atau DAP telah mengabaikan perjuangan mereka untuk menjadikan bahasa Mandarin sebagai bahasa rasmi?

Saya dengan ini ingin mendesak Naib Pengerusi DAP Teresa Kok supaya tidak berkelakuan bongkak dengan menuduh Zaid gagal memahami politik sebenar.

Apabila Zaid berucap memuji DAP, beliau disanjung dan dipuja tetapi jika terdapat sedikit kritikan di dalam ucapannya terhadap DAP, beliau akan dikutuk dan dikritik oleh pemimpin DAP.

Teresa Kok sepatutnya lebih merendah diri terhadap seorang pemimpin seperti Zaid. Beliau sendiri tidak lebih dan tidak kurang dari Zaid dalam memahami realiti politik Malaysia walaupun beliau menang pilihanraya dengan majoriti paling besar di dalam sebuah parlimen yang didominasi masyarakat Cina.

Dengan mendakwa beliau bersifat mesra kaum tidak bermakna tiada sifat rasis dalam diri beliau.

Dengan membangkitkan kembali isu perkauman yang telah pun diselesaikan oleh generasi terdahulu, tanpa sebarang penyelesaian, menunjukkan betapa kurangnya pemahaman berkenaan landskap politik Malaysia.

Bekerjasama secara terburu-buru dengan PAS tidak bermakna DAP menerima Islam dan Hudud.

Maka, talak tiga DAP dan PAS juga dilakukan dengan cukup pantas apabila matlamat untuk meraih undi telah tercapai, dengan menggunakan platform palsu seperti Buku Jingga.

Adakah dengan memilih untuk memalukan MCA dan menuduh MCA menjual maruah kepada orang Melayu, juga menunjukkan kurangnya pemahaman terhadap pemikiran politik orang Melayu?

Adakah kita kini makin bersifat perkauman, memandangkan DAP telah berjaya meyakinkan 90% orang Cina yang mereka adalah penyelamat politik kaum Cina?

Mengapa 90% orang Cina mengundi DAP jika mereka tidak mengamalkan politik rasis atau pun janji palsu yang tidak dapat ditunaikan?

Mengapa mereka memerlukan PAS, PKR, Parti Amanah Negara dan beberapa orang pemimpin Melayu untuk mendapatkan undi Melayu jika mereka benar-benar berjaya menarik perhatian orang Melayu?

DAP penuh dengan sifat perkauman. Ini, tidak dapat dinafikan walaupun mereka kelihatan mesra kaum.

Ya, saya bercakap dalam erti kata politik sebenar.

Oleh Ti Lian Ker,
Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA,
http://www.themalaymailonline.com/what-you-think/article/apa-dap-mau-ti-lian-ker