Tony Pua Dalang Utama Komplot Jatuhkan Kerajaan?

Berdasarkan dokumen siasatan yang berkaitan dengan penyiasatan pihak berkuasa Thailand, Clare Rewcastle-Brown yang menjadi broker kepada penjualan data dicuri Justo daripada majikannya, telah menghubungi Tony pada Februari lalu dan memaklumkan, Clare dan Tony sudah menguruskan penjualan data dicuri itu kepada pemilik The Edge, Tong Kooi Ong.

Nama Tony turut disebut beberapa kali dalam pengakuan bertulis Justo serta transkrip perbualan Whatsapp selama tiga bulan melibatkan Clare, Justo dan pemilik The Edge, Tong dan Ho Kay Tat yang didakwa mewujudkan satu grup bagi perbualan itu.

Manakala dalam satu lagi rangkaian perbualan antara Justo dan Clare (kedua-duanya menggunakan nama samaran Fullerton dan Athene Ban) mereka turut membincangkan mengenai pembayaran yang tertangguh kepada Justo dan Clare memberitahunya, “Saya sudah meminta Tony (Pua) untuk menguruskan pertemuan dengan Tong.”

Justo dalam balasannya kepada Clare meminta wanita itu mengendalikan semua urusan itu, “Andalah buat keputusan. Saya ingatkan Tony yang membuat keputusan dan berpengaruh. Jika mereka tidak pedulikan Tony, apa yang boleh dilakukan oleh orang lain.”

Persoalan Justo itu dijawab Clare: “Ok. Sedang menunggu Tony untuk memperbesarkan perkara ini. Dia telah memperkenalkan saya dan dia turut terlibat. Saya jangkakan, tiada sesiapa dalam kumpulan ini mahu mengundur diri.”

Dalam perbualan itu, di mana dapat dilihat kesabaran Justo semakin menipis berikutan pembayaran yang ditangguh, Clare turut menulis: “Saya sudah beritahu Tony, jika dia tidak bayar, Justo mengugut akan mendedahkan mengenai urusan ini.”

Tony turut dipanggil ke Bukit Aman 4 September lalu dan kenyataannya turut direkodkan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan turut memberitahu wartawan, polis bertanyakan sama ada dia mengenali Clare dan Justo.

“Saya beritahu pihak polis, saya kenal Clare dan saya bertemu dengannya di London sebelum ini. Bagaimanapun saya tidak mengenali Justo dan tidak pernah bertemu dengannya,” dakwa Tony.

NST semalam turut menyiarkan kenyataan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) Bukit Aman, Datuk Amar Singh yang turut mengesahkan Tony dipanggil untuk memberi kenyataan dan turut bertanya sama ada Tony turut menyebut menjadi orang tengah antara Clare dan Tong.

Amar berkata ia tidak disebut langsung dan polis kini melakukan siasatan terhadap sudut baru ini.

Tony mengesahkan dia disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan dan Seksyen 124J kanun yang sama kerana menerima dokumen dan penerbitan yang bertentangan dengan demokrasi berparlimen negara ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pihaknya menerima kerjasama daripada pihak berkuasa Thailand dan akan melakukan apa yang diperlukan termasuk membuka kertas siasatan baru terhadap mereka yang terlibat dalam plot mengguling kerajaan.

Sumber: http://mynation.my/tony-pua-bakal-merengkok-dalam-penjara/